PUTRAJAYA 20 Sept - Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober 2022 akan terus memberi tumpuan kepada mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini adalah bagi menjana pertumbuhan yang lebih mampan dalam jangka masa panjang dan memastikan Keluarga Malaysia yang makmur dan sejahtera.
"Ekonomi Malaysia masih berada di landasan yang kukuh disokong oleh asas ekonomi yang berdaya tahan, dasar-dasar yang pragmatik dan kepelbagaian struktur ekonomi," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Mustapa berkata, pengurusan ekonomi negara pada tahun 2022 dijangka lebih mencabar.
Katanya, unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada 2022 dan 2023 oleh pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF telah disemak semula dan diturunkan.
IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi dunia kepada 3.2% bagi tahun 2022 pada bulan Julai berbanding dengan 3.6% pada April, dan 4.4% pada Januari 2022. Bagi tahun 2023, unjuran pertumbuhan ekonomi dunia telah diturunkan daripada 3.8% pada Januari 2022 kepada 2.9% pada Julai 2022.
Mengenai inflasi, Mustapa berkata, kenaikan harga merupakan satu fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara. Inflasi Malaysia meningkat sebanyak 2.8% bagi tempoh Januari-Julai 2022, selari dengan sasaran Bank Negara Malaysia, iaitu di antara 2.2% - 3.2% bagi tahun 2022.
Bagi bulan Julai 2022, Malaysia mencatatkan kadar inflasi 4.4%, lebih rendah berbanding beberapa negara serantau dan negara iaitu:
• United Kingdom (10.1%);
• Zon Euro (8.9%);
• Amerika Syarikat (8.5%);
• Thailand (7.6%);
• Singapura (7.0%);
• Filipina (6.4%);
• Republik Korea (6.3%); dan
• Indonesia (4.9%).
"Kadar peningkatan harga lebih rendah di Malaysia adalah hasil daripada pelbagai langkah dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan seperti mengekalkan subsidi, menetapkan harga siling bagi beberapa barangan, meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan di sempadan dan menubuhkan Pasukan Jihad Tangani Inflasi," ujar beliau.
Secara umumnya, mata wang bagi kebanyakan negara telah menyusut berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan pengukuhan nilai dolar AS berikutan
peningkatan kadar faedah dasar yang agresif oleh Federal Reserve.
Sejak 3 Januari 2022, nilai mata wang dolar AS berbanding dengan mata wang utama dunia telah meningkat kira-kira 14%.
"Bagi tempoh 3 Januari 2022 sehingga 20 September 2022, nilai ringgit telah menyusut sebanyak 9.2%.
"Walau bagaimanapun, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menghadapi penyusutan nilai mata wang," kata Mustapa.
Beberapa nilai mata wang bagi negara lain di rantau ini turut mengalami penyusutan yang lebih besar daripada ringgit Malaysia adalah seperti berikut:
i. Yen Jepun (-24.6%);
ii. Won Korea (-16.6%);
iii. Renminbi (-10.1%);
iv. Peso Filipino (-12.1%); dan
v. Baht Thai (-11.1%)
Walau bagaimanapun, nilai ringgit Malaysia telah mengukuh berbanding dengan beberapa nilai mata wang asing seperti berikut:
i. Yen Jepun (13.9%);
ii. Won Korea (7.0%);
iii. Baht Thai (2.0%) dan
iv. Renminbi China (1.0%).
Malaysia kata Mustapa, kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing (FDI) dengan mencatat aliran masuk bersih FDI lebih tinggi sebanyak RM41.7 bilion pada Jan-Jun 2022 (Jan-Jun 2021: RM20.2 bilion).
FDI yang diluluskan oleh MIDA mencatat RM87.5 bilion bagi separuh tahun pertama, lebih tinggi berbanding dengan RM86.7 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2021.
Jumlah perdagangan meningkat 33.1% kepada RM1.87 trilion bagi tempoh Jan-Ogos 2022 berbanding RM1.41 trilion pada tahun sebelumnya.
Eksport meningkat sebanyak 30.3% kepada RM1.0 trilion (Jan-Ogos 2021: RM778.5 bilion). Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak RM155.6 bilion berbanding dengan RM150.1 bilion pada tempoh sama tahun 2021. - DagangNews.com