Bakal sertai papan utama minggu hadapan, Swift Haulage catat untung bersih Q3 RM12.12 juta | DagangNews Skip to main content

Bakal sertai papan utama minggu hadapan, Swift Haulage catat untung bersih Q3 RM12.12 juta

 

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Swift Haulage Bhd. yang akan membuat penampilan sulung di Papan Utama Bursa Malaysia pada 21 Disember ini, merekodkan untung bersih sebanyak RM12.12 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021. 

 

Pendapatan syarikat perkhidmatan bersepadu ini pula berjumlah RM139.25 juta bagi tempoh berkenaan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, untung bersih kumpulan sebanyak RM35.4 juta manakala pendapatan berjumlah RM430.86 juta.  

 

Hasil kumpulan bagi suku kewangan semasa dan tempoh kewangan setakat ini disumbangkan terutama menerusi pengangkutan kontena sebanyak RM203.2 juta dan pengangkutan darat berjumlah RM128 juta yang mewakili 77% daripada jumlah hasil kumpulan.

 

Ia turut disumbangkan menerusi perniagaan gudang dan depot kontena serta penghantaran kargo masing-masing menyumbang sebanyak RM55.6 juta dan RM43.6 juta. 

 

Kumpulan turut menjelaskan tiada angka perbandingan untuk suku yang sama sebelumnya kerana ia adalah laporan kewangan interim pertama mengenai keputusan disatukan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 yang diumumkan oleh kumpulan sebagai mematuhi Keperluan Penyenaraian. 

 

Sementara itu, dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Swift Haulage, Loo Yong Hui berkata, prestasi suku dikaji telah terjejas dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara pada 1 Jun lalu. 

 

Katanya, walaupun perniagaannya dikategorikan sebagai penting tetapi pelanggannya yang dalam kategori tidak penting terpaksa menutup perniagaan atau beroperasi dengan kapasiti 60%.

 

"Di sebalik impak PKP ini, kami masih merekodkan keputusan yang membanggakan, yang membuktikan daya tahan dan keteguhan model perniagaan kumpulan.

 

"Apabila memasuki fasa keempat di seluruh negara pada suku keempat, ini akan meletakkan kedudukan yang kukuh kepada kami untuk merekodkan prestasi lebih baik berbanding 2020 dan mencapai pertumbuhan dalam persekitaran yang mencabar," katanya. - DagangNews.com