Bakat muda MEASAT diiktiraf Majlis Komunikasi Satelit Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Bakat muda MEASAT diiktiraf Majlis Komunikasi Satelit Asia Pasifik

Abdul Halim Abd Aziz (kanan) menerima Anugerah Bakat Muda APSCC 2022 di Seoul, Korea Selatan.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - MEASAT Global Berhad (MEASAT) sekali lagi diiktiraf oleh Majlis Komunikasi Satelit Asia Pasifik (APSCC) atas kualiti bakat mudanya, Penolong Pengurus untuk Perolehan Satelit dan Pelancaran MEASAT, Abdul Halim Abd Aziz, menerima Anugerah Bakat Muda APSCC 2022 di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini. 

 

Halim adalah orang ketiga dari MEASAT yang menerima penghormatan itu, berikutan kemenangan oleh kakitangan lain pada 2018 dan 2019. 

 

Majlis Anugerah APSCC 2022, yang diadakan sempena Persidangan dan Pameran Satelit APSCC tahunan, turut menyaksikan Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim menerima anugerah Eksekutif Satelit Terbaik di Asia Pasifik Tahun 2022, dalam upacara berasingan yang diadakan sebelum ini.

 

Selain anugerah ini, Halim turut menerima biasiswa penuh untuk Program Pengajian Angkasa Lepas Hemisfera Selatan 2023 di Universiti Angkasa Antarabangsa (ISU).

 

Beliau berkata, beliau amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini daripada APSCC dan juga di atas pencalonan daripada pucuk pimpinan MEASAT. 

 

"Pengiktirafan yang diberikan di atas kerja saya ini terus mendorong saya dalam menyumbang kepada syarikat dan industri satelit. 

 

"Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, tugasan saya sebagai Pengurus Program bagi Projek MEASAT-3d merupakan pengalaman yang mengubah hidup dan saya gembira menerima peluang ini walaupun tidak mempunyai pengalaman pada mulanya. 

 

"Melihat manfaat yang dibawa oleh satelit termaju MEASAT kepada Malaysia, seperti membolehkan 100% liputan jalur lebar satelit di kawasan yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh negara, ini mendorong saya mencari lebih banyak peluang memperbaiki diri dan menempa nama dalam industri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Halim, yang menyertai pasukan MEASAT pada 2014 sebagai jurutera telah memainkan peranan penting dalam kejayaan pelancaran MEASAT-3d tahun ini. 

 

Sebagai Pengurus Program untuk Projek MEASAT-3d, beliau menghabiskan tiga tahun berpangkalan di Toulouse, Perancis, yang mana beliau memantau prestasi kerja pembinaan satelit oleh Airbus dan memastikan semua permintaan dipenuhi. 

 

Beliau juga bekerjasama rapat dengan Airbus dan Arianespace untuk mengangkut satelit ke tapak pelancaran dengan selamat, satu tugas yang bertambah rumit disebabkan konflik di Ukraine yang memaksa mereka memindahkan satelit itu melalui kapal dan bukannya melalui udara dalam pesawat Antonov.

 

Pada tahun-tahun sebelumnya, selain pengiktirafan yang diberikan kepada bakat muda di MEASAT, APSCC juga memberi penghormatan kepada Dr Ali R. Ebadi, mantan Naib Presiden Kanan bagi Pembangunan Sistem Angkasa MEASAT, dengan penyampaian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat APSCC pada 2013 dan Anugerah Khas APSCC pada 2008. - DagangNews.com