KAJANG 30 Jun – Mungkin tidak ramai tahu atau peduli, Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan berikutan pandemik Covid-19 turut menjejaskan penghuni penjara atau banduan.
Kesulitan 1,700 penghuni Penjara Wanita Kajang bukan sahaja tidak dapat bertemu sanak-saudara atau rakan taulan semasa Hari Raya yang lalu disebabkan PKP tetapi juga bengkel-bengkel kemahiran yang bertujuan mempersiapkan mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
Pada hari kebiasaan, mereka juga dikehendaki mengikuti bengkel latihan kemahiran setiap hari selain menghasilkan batik, pakaian, lapik lantai, kuih-muih untuk dijual kepada orang awam sebagai sebahagian daripada program latihan kemahiran vokasional mereka. Bagaimanapun, sesi-sesi tersebut telah dibatalkan disebabkan PKP.
Rintihan komuniti ini menarik perhatian Sunway, yang telah memasukkan Komuniti Penjara Wanita Kajang sebagai satu daripada kumpulan penerima manfaat untuk aktiviti tahunan Keriangan Raya #SunwayforGood.
Baru-baru ini, makanan berbungkus dan peralatan mandian disampaikan kepada penghuni wanita di situ dan Kumpulan Sunway juga mempamerkan sokongan yang sangat diperlukan bagi aktiviti vokasional wanita tersebut dengan membeli kuih-muih Raya yang dibuat oleh penghuni penjara sebagai hadiah Hari Raya kepada komuniti berkenaan.
Timbalan Pengerusi Eksekutif Sunway Group Tan Sri Datuk Seri Razman M. Hashim, yang memimpin inisiatif #SunwayforGood bermatlamat untuk memacu pembangunan lestari Kumpulan menjelaskan, “Kami menyokong program latihan kemahiran vokasional Penjara Wanita Kajang yang unik kerana ia adalah satu inisiatif yang bermakna dan benar-benar merubah kehidupan menjadi lebih baik. Inisiatif seumpamanya menyumbang ke arah masyarakat yang tidak meminggirkan sesiapa – tujuan utama Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.”
Pengarah Penjara Wanita Kajang, PKK Lim Kim Mooi yang menerima sumbangan Sunway sebagai mewakili komuniti di Penjara Wanita Kajang berkata, “Sunway adalah konglomerat yang pertama dan satu-satunya yang menyampaikan Keriangan Raya semasa PKPP ini, selain memberi sokongan kepada penghuni wanita ketika komuniti ini benar-benar memerlukannya.”
Program latihan vokasional ini diperkenalkan pada 2007 dan memainkan peranan penting di dalam kemasukan kembali banduan ke pangkuan masyarakat selepas mereka dibebaskan.
Di bawah program ini, wanita berkenaan belajar kemahiran berguna dan boleh pasaran yang memberikan mereka kebebasan, seperti melukis dan mencetak batik, penggayaan rambut, mengurut dan rawatan muka, refleksologi, pembuatan kek dan kuih-muih, penyajian makanan, kerja-kerja kraftangan, membuat pakaian, selain pereka grafik.
Bengkel kemahiran-kemahiran ini terbuka kepada wanita yang telah selesai menjalani program pemulihan, yang merangkumi kaunseling kerohanian atau berkumpulan dan ceramah motivasi kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain latihan kemahiran, wanita-wanita yang buta huruf juga diajar untuk membaca dan menulis.
“Hari Raya kali ini memang agak sukar bagi wanita kerana sesi kunjungan semasa musim perayaan daripada keluarga dan sahabat telah secara sementara digantung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.
Tidak banyak yang boleh dibuat kerana bengkel-bengkel juga terhenti disebabkan PKP. Kami menerima tempahan yang sangat rendah tahun ini. Tentunya, usaha Sunway menyokong aktiviti-aktiviti wanita ini amat dihargai kerana ia membolehkan mereka menerusikan latihan kemahiran vokasional mereka.
Hadiah-hadiah yang bermakna seperti makanan berbungkus itu pastinya menyemarakkan semangat mereka, membawa keriangan setelah melalui sambutan Hari Raya yang cukup sederhana,” tambah Lim.