Bangsar Height Pavilion jalin kerjasama dengan Hyatt Hotels bagi uruskan Hyatt Place Johor Bahru City Centre | DagangNews Skip to main content

Bangsar Height Pavilion jalin kerjasama dengan Hyatt Hotels bagi uruskan Hyatt Place Johor Bahru City Centre

Bangsar Heights Pavilion bekerjasama dengan Hyatt Hotels Corporation bagi menguruskan Hyatt Place Johor Bahru City Centre, yang akan terletak di Quayside JBCC.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - Bangsar Heights Pavilion menjalinkan kerjasama dengan Hyatt Hotels Corporation bagi menguruskan Hyatt Place Johor Bahru City Centre yang terletak di Quayside JBCC.

 

Kerjasama itu dijangka membawa tawaran perkhidmatan Hyatt Place yang disesuaikan untuk mereka yang bekerja atau melancong bersama keluarga ke Quayside JBCC selain mengukuhkan kedudukan Bangsar Heights Pavilion sebagai peneraju dalam projek pembangunan inovatif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bangsar Height Pavilion, Aaron Yap percaya kerjasama itu akan menambah nilai kepada pihak berkepentingan kedua-dua syarikat, di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

"Hyatt Place ialah jenama yang diiktiraf di peringkat global yang terkenal dengan kemudahan moden, layanan mesra dan komitmen terhadap kepuasan tetamu, yang sejajar dengan komitmen kami untuk menyediakan pengalaman tanpa kerumitan untuk semua pelanggan kami.

 

"Kami percaya kepakaran mereka akan memainkan peranan penting dalam meletakkan Quayside JBCC sebagai destinasi utama di Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Presiden Kumpulan Hyatt untuk Asia Pasifik, David Udell berkata, pengalaman Bangsar Height Pavilion selama lebih 30 tahun dalam membangunkan hartanah kediaman, komersial dan perindustrian di negara ini, syarikat itu berbangga untuk memberikan tetamu penginapan yang selesa semasa perjalanan mereka.

 

Beliau berkata, kerjasama itu mencerminkan pertumbuhan menarik jenama Hyatt Place di Asia Tenggara, dan menekankan kedudukan Hyatt sebagai jenama hospitaliti global terkemuka dalam penginapan kelas atas untuk pelancong perniagaan dan percutian di seluruh dunia.

 

Quayside JBCC ialah lokasi pembangunan bercampur pegangan bebas yang terdiri daripada peruncitan, hotel, suite perkhidmatan, dan santapan mewah sky bar dengan jangkaan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM600 juta.

 

Sejumlah 200 bilik tetamu yang luas di Hyatt Place Johor Bahru City Centre akan menampilkan kemudahan yang direka dengan teliti mengikut keperluan tetamu, dengan ruang khusus untuk bekerja, tidur dan melepak, dengan ciri termasuk sofa tidur keratan Cozy Corner yang selesa, meja besar dan peti sejuk mini.

 

Tetamu juga boleh menikmati makanan mereka di The Breakfast Bar atau menjamu selera di dan minum di bar lobi dan restoran kasual, yang menawarkan menu menarik yang disusun dengan teliti dan kreatif. 

 

The Market di hotel berkenaan juga menawarkan pelbagai pilihan barangan grab-and-go yang tersedia selama 24 jam dan tujuh hari seminggu. - DagangNews.com