KUALA LUMPUR 21 Jan. - Malaysia perlu dibangunkan sebagai sebuah negara digital dalam pembentukan blok ekonomi digital ASEAN.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan CIMB-ASEAN, Jukhee Hong berkata, hasrat itu dapat dicapai melalui beberapa inisiatif transformasi pendigitalan Malaysia.
"Pelaksanaan inisiatif ini sekali gus dilihat dapat memenuhi potensi ekonomi digital ASEAN dengan mewujudkan komuniti digital serantau.
“Antara cadangan inisiatif termasuk transformasi digital untuk Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) seperti pembangunan lestari untuk membantu PKS dari luar talian ke dalam talian, dan pendigitalan sistem kewangan serta pentadbiran awam.
“Polisi e-dagang dalam talian juga perlu diselaraskan dengan peraturan antarabangsa, perkongsian data rentas sempadan yang selamat dan dilindungi peraturan ketat, infrastruktur digital serta jurang kemahiran (digital) perlu diperbaiki dari segi latihan dan pendidikan,” jelas beliau seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam program siaran langsung Temu Minda: Malaysia Nadi Digital ASEAN bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang disiarkan di Facebook Live KKMM, saluran TV1 RTM dan Bernama TV, malam tadi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TIME dotCom, Berhad Afzal Abdul Rahim memberitahu, lapisan infrasruktur merupakan asas utama dalam memangkin ekonomi digital sesebuah negara.
Dengan infrastruktur dan akses kepada Internet, zaman digital merupakan ‘the great equalizer’ (penyama) yang membolehkan komuniti menggunakan teknologi dalam talian seterusnya menyumbang secara langsung kepada ekonomi digital.
Hari ini, Saifuddin akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) dan Mesyuarat Berkaitan yang dihoskan Malaysia.
Bertemakan ‘ASEAN - Komuniti yang Dihubungkan Secara Digital’, mesyuarat itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara negara ASEAN ke arah membina ekosistem digital sebagai tonggak dalam pelan pembangunan pasca COVID-19. - DagangNews.com