Bumi Armada, MISC teroka potensi penggabungan, tingkatkan kedudukan pasaran luar pesisir | DagangNews Skip to main content

Bumi Armada, MISC teroka potensi penggabungan, tingkatkan kedudukan pasaran luar pesisir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Nov - Bumi Armada Bhd memeterai perjanjian tidak mengikat bagi meneroka potensi penggabungan dengan MISC Bhd.

 

Menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) itu, kedua-dua pihak mempunyai masa sembilan bulan untuk menjalankan usaha wajar serta menandatanganai perjanjian muktamad, kata Bumi Armada. 

 

Katanya, entiti gabungan itu dijangka kekal tersenarai di Bursa Malaysia.

 

"Entiti itu akan menjadi antara perniagaan FPSO terkemuka di peringkat global dengan skala besar, sumber dan kapasiti kewangan untuk bersaing dalam segmen pengeluaran terapung luar pesisir," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, cadangan penggabungan itu akan mewujudkan entiti khusus yang memanfaatkan gabungan kumpulan bakat, pembangunan projek dan keupayaan kejuruteraan, dan pengetahuan perniagaan luar pesisir MISC dan Bumi Armada.

 

"Memorandum ini berkuatkuasa untuk tempoh sembilan bulan dari tarikh MOU, sehingga pelaksanaan perjanjian muktamad atau penamatan, yang mana yang paling awal melainkan dipersetujui sebaliknya oleh pihak-pihak.

 

"MOU tidak mempunyai kesan undang-undang dan mengikat kecuali klausa tertentu yang berkaitan dengan, antara lain, eksklusif dan kerahsiaan," katanya.

 

Selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia, Bumi Armada memberi jaminan kepada pelabur bahawa sebarang kemas kini penting mengenai proses penggabungan akan dikongsi jika pihak bersetuju dengan terma dan memuktamadkan perjanjian. - DagangNews.com