Banjir paksa TNB tutup 140 pencawang di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor | DagangNews Skip to main content

Banjir paksa TNB tutup 140 pencawang di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 140 pencawang elektrik di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor setakat jam 4 petang hari ini melibatkan 3,978 pengguna berikutan banjir yang berlaku.

 

Daripada jumlah itu, 118 pencawang ditutup di Pahang di daerah Temerloh, Jengka, Maran, Jerantut, Kuala Lipis dan Bera melibatkan 2,607 pengguna. Sebanyak 19 pencawang elektrik mendapat bekalan melalui set janakuasa bergerak.

 

TNB turut memberi bekalan kepada 10 pusat pemindahan banjir yang tidak menerima bekalan daripada pencawang melalui set janakuasa bergerak dan set janakuasa mudah alih.

 

Situasi banjir yang semakin reda di Johor memerlukan TNB untuk menutup dua pencawang di daerah Mersing melibatkan 50 pengguna.

 

Sebanyak dua pencawang di Johor masih mendapat bekalan menerusi set janakuasa bergerak, manakala satu pusat pemindahan banjir menerima bekalan melalui set janakuasa bergerak.

 

Paras air yang mula meningkat di Terenganu memerlukan TNB untuk menutup 14 pencawang di daerah Kemaman dan Bandar Al Muktafi Billah Shah dekat Dungun, membabitkan 989 pengguna.

 

TNB juga menutup enam pencawang elektrik di Kelantan susulan paras air banjir yang meningkat. Kawasan yang terlibat ialah Tanah Merah, Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai membabitkan 332 penguna.

 

TNB terpaksa menutup pencawang elektrik ketika banjir demi keselamatan pengguna dan sentiasa berusaha memulihkan bekalan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB.

 

Bagi memastikan pengurusan banjir yang berkesan, TNB telah mengaktifkan bilik gerakan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor untuk tujuan pemantauan selain bagi menyampaikan maklumat berkaitan bekalan.

 

Pengguna di kawasan banjir dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang.

 

Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

 

Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air. - DagangNews.com