Bank di Malaysia sokong langkah baharu banteras jenayah kewangan tetapi beri amaran kelewatan transaksi | DagangNews Skip to main content

Bank di Malaysia sokong langkah baharu banteras jenayah kewangan tetapi beri amaran kelewatan transaksi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Sept - Langkah baharu Bank Negara Malaysia untuk memerangi jenayah kewangan mungkin membawa perubahan kepada jangkaan pelanggan untuk perkhidmatan perbankan dalam talian. 

 

Bagi menyokong usaha itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama berkata, urus niaga perbankan dalam talian mungkin mengambil tempoh yang lebih lama kerana langkah keselamatan dan pemeriksaan tambahan.

 

Terdahulu, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunos mengumumkan lima langkah baharu pada pelancaran Pameran Jenayah Kewangan baru-baru ini.

 

Ini termasuk pemindahan daripada penggunaan kata laluan sekali sahaja (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat termasuk perisian pengesahan berbilang faktor selamat atau token perkakasan untuk transaksi tertentu.

 

Urus niaga itu termasuk pemindahan dana dan pembayaran, perubahan maklumat peribadi (nombor mudah alih, alamat pos dan emel) dan tetapan akaun (had untuk pengeluaran atau pemindahan).

 

"Sesetengah bank telah banyak berubah daripada OTP atau menawarkan kaedah pengesahan alternatif yang selamat seperti yang disyorkan oleh Bank Negara Malaysia sejak 2019, manakala bank lain sedang mempercepatkan usaha untuk mematuhi keperluan terkini," katanya.

 

Persatuan-persatuan berkenaan meminta pelanggan bersabar dan memahami tentang kelewatan serta kesulitan yang mungkin berlaku sebaik langkah itu dilaksanakan.

 

"Langkah-langkah itu bagaimanapun adalah penting untuk keselamatan tambahan dan keselamatan pelanggan bank.

 

"Bank-bank ahli ABM, AIBIM dan ADFIM komited untuk memastikan komunikasi yang betul dengan pelanggan berhubung dengan langkah di atas, termasuk tarikh pelaksanaan untuk pelbagai langkah, sebarang perubahan kepada proses dan tindakan yang diperlukan di pihak pelanggan," katanya. - DagangNews.com