KUCHING 23 Nov - Pelaksanaan bank digital di Sarawak akan menyaksikan perubahan infrastruktur perbankan di negeri ini yang semakin berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat terutama penduduk di luar bandar.
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pada masa ini kerajaan negeri masih menunggu kelulusan permohonan lesen bank digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
"Kita telah memohon kepada Bank Negara untuk mewujudkan bank digital ini dan harap dapat dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perkampungan Digital Tegas (TDV) di bawah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya di sini, Isnin.
Beliau berkata, penerangan lanjut mengenai kriteria bank digital itu akan dimaklumkan sebaik sahaja permohonan tersebut diluluskan dan proses berkaitan BNM selesai.
“Kita tahu sekarang (bank yang ada) ialah bank konvensional yang menggunakan perbankan runcit iaitu secara bersemuka, tetapi masa depan nanti transaksi menggunakan digital diseliakan oleh Bank Negara, jadi kita perlu mengikut panduan Bank Negara.
“Ini yang memudahkan mereka di luar bandar untuk menjalankan transaksi tanpa perlu pergi ke bank seperti biasa,” jelasnya, lapor Bernama.
ARTIKEL BERKAITAN: Konsortium Kerajaan Negeri Sarawak, Kenanga dan Revenue Group mohon lesen bank digital BNM
Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya berkata, Sarawak berupaya menjadi lembah silikon di rantau ini menerusi TDV yang mempunyai kemudahan teknologi terkini dalam usaha menghasilkan produk daripada pelbagai sudut yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.
Katanya, menerusi inovasi digital dan keusahawan yang dijalankan sejajar dengan polisi kerajaan, ia juga mampu menjana pendapatan Sarawak pada masa hadapan. - DagangNews.com