KUALA LUMPUR 27 Sept - Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2022 kepada 6.4% daripada 5.5% sebelum ini, didorong peningkatan aktiviti ekonomi pada separuh pertama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi seperti dilapor Bernama berkata, data menunjukkan ekonomi ini telah berkembang jauh melebihi jangkaan pada separuh pertama 2022.
Katanya, ia dipacu oleh penggunaan domestik yang lebih baik dan pertumbuhan eksport yang kukuh daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi.
"Prestasi lebih baik yang dicatatkan sektor perkhidmatan, pelancongan dan pembuatan ditambah dengan peningkatan semula yang dialami sektor pembinaan juga menyumbang kepada unjuran yang lebih baik bagi 2022," katanya semasa taklimat media secara maya bertajuk Perkembangan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik oleh Bank Dunia hari ini.
Bagaimanapun, beliau menyedari terdapat risiko peningkatan inflasi, kenaikan kos sara hidup, kesan pengurangan langkah bantuan tunai dan persekitaran luaran yang lembap boleh menimbulkan risiko penurunan pada separuh kedua 2022.
Ini kerana, katanya, bagi ekonomi yang hampir 60% bergantung kepada penggunaan swasta dan dua pertiga daripada pertumbuhan datang daripada penggunaan swasta, sebarang kejutan terhadap permintaan dalam negeri boleh melambatkan atau menahan momentum pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.
"Dengan itu, pertumbuhan adalah rapuh. Selain itu, Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada membina rangka kerja promosi pelaburan yang padu untuk menambah baik pelaburan langsung asing," jelasnya.
Susulan itu, Bank Dunia menyemak turun pertumbuhan KDNK bagi 2023 kepada 4.2% daripada 4.5% sebelum ini berikutan ketidaktentuan persekitaran global.
Menurutnya, terdapat halangan yang ketara daripada ketidaktentuan ekonomi global, termasuk perkembangan terkini di Ukraine, kelembapan di China, peningkatan inflasi dalam negeri, serta kekurangan pekerja yang boleh menghalang Malaysia daripada mencapai potensi penuhnya.
"Namun, asas Malaysia masih kekal kukuh memandangkan status negara sebagai pemain komoditi utama dan elektrik & elektronik (E&E) serta gangguan rantaian bekalan yang terhad di Asia, berbanding Barat, akan memberikan sokongan kukuh kepada pertumbuhan," katanya. - DagangNews.com