Bank Dunia unjur ekonomi negara 2021 berkembang 6.7% | DagangNews Skip to main content

Bank Dunia unjur ekonomi negara 2021 berkembang 6.7%

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 6.7% pada 2021 selepas negara diunjur berdepan penguncupan 5.8% tahun ini akibat wabak COVID-19, menurut Bank Dunia dalam laporan Malaysia Economic Monitor: Sowing the Seeds. 

 

Unjuran yang dibuat itu lebih tinggi mengatasi pertumbuhan global pada 4.2% untuk tahun hadapan, selepas menguncup 5.2% tahun ini.  

 

Badan antarabangsa itu menyifatkan kejayaan mengekang gelombang ketiga pandemik itu dan juga pengagihan vaksin akan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih pesat berbanding jangkaan sebelum ini. 

 

Ini akan mendorong pemulihan dalam permintaan pengguna dan meningkatkan keyakinan pelabur sekali gus menyaksikan aktiviti ekonomi domestik yang kembali pulih pada tahun hadapan.

 

"Bagaimanapum pemulihan aktiviti ekonomi ini bergantung kepada beberapa faktor terutama penggunaan vaksin dan pertumbuhan global. 

"Malaysia dijangka tidak akan mengalami pemulihan sepenuhnya daripada kejutan wabak COVID-19 dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya dalam laporan yang dikeluarkan hari ini. 

 

Malaysia mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi sejak suku ketiga apabila ia menguncup pada kadar kecil, 2.7% berbanding 17.1% pada suku sebelumnya. 
 

Langkah fiskal seperti bantuan tunai dan subsidi upah telah membantu meningkatkan perbelanjaan dengan penggunaan swasta menyusut 2.1% sahaja pada suku ketiga berbanding 18.5% pada pada suku kedua 2020. 

 

Bagaimanapun, dengan lonjakan kes COVID-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan kembali melemahkan pemulihan ekonomi. 

 

"Keadaan ini turut diburukkan dengan ketidaktentuan dalam pelaksanaan vaksin yang berkesan dan sejauh mana ekonomi global kembali pulih akan mempengaruhi prospek pertumbuhan. 

 

"Dalam hal ini, mengawal wabak ini dan melindungi golongan mudah terjejas perlu menjadi keutamaan dalam tempoh ini," katanya. 

 

Laporan itu menjangkakan Malaysia akan kembali kepada tahap sebelum pandemik pada kadar perlahan untuk tempoh sederhana. 

 

Bagaimanapun, katanya, memandangkan risiko kesihatan semakin berkurangan dan ekonomi terus pulih, tumpuan perlu beralih secara beransur-ansur daripada dasar jangka masa sederhana kepada penyelarasan keperluan ekonomi bagi merangsang pertumbuhan baharu selepas pandemik ini. 

 

Pengarah Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop berkata, pandemik COVID-19 secara tidak telah menunjukkan betapa pentingnya mengambil kira pandangan dasar yang dinamik bagi menangani krisis tersebut.    

 

"Ini termasuklah strategi yang jelas melibatkan fasa pemulihan, menguruskan kesukaran dalam menyediakan bantuan dan menyokong pemulihan dan pertumbuhan masa depan," katanya dalam kenyataan.   

 

Bank Dunia dalam laporan itu berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi membantu menangani pandemik COVID-19 termasuklah pinjaman moratorium bagi mengurangkan beban kewangan isi rumah. 

 

Walaupun langkah ini penting, tetapi ia menyebabkan hasil kerajaan menurun, dan akan mengundang cabaran besar kepada fiskal pada masa hadapan. 

 

"Seperti kerajaan lain di seluruh dunia, Malaysia telah menggunakan banyak ruang fiskal dan kemungkinan akan keluar daripada krisis ini dengan beban hutang dan liabiliti yang banyak. 

 

"Keadaan ini dapat dilihat apabila wujudnya kekangan kepada kerajaan untuk memperluaskan peruntukan untuk bantuan dan menyokong rangsangan yang mana akan menyebabkan kerajaan kurang melabur untuk pemulihan dan pertumbuhan masa depan, sekiranya tanpa asas perolehan yang kukuh," katanya. 

 

Bank Dunia menganggarkan defisit fiskal akan berkembang 6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding unjuran 3.2% sebelum ini dalam Belanjawan 2020 berikutan kemerosotan ekonomi dan langkah-langkah rangsangan kerajaan.  

 

"Dalam masa sama, perbelanjaan dijangka meningkat 3.4% daripada KDNK manakala hasil pula meningkat 0.6%, yang mencerminkan peningkatan 2.8% dalam defisit fiskal negara," katanya. - DagangNews.com