Bank Islam buka permohonan bantuan kewangan URUS bagi ringankan beban kewangan B50 akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Bank Islam buka permohonan bantuan kewangan URUS bagi ringankan beban kewangan B50 akibat COVID-19

KUALA LUMPUR 16 Nov – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) membuka permohonan bantuan kewangan di bawah Program Pengurusan Kewangan dan Ketahanan (URUS) yang dibuka sekarang sehingga 31 Januari 2022 kepada pelanggan B50 yang layak.

 

Bank Islam akan menyediakan pra-pemprosesan permohonan URUS sebelum diserahkan kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk semakan dan kelulusan selanjutnya.

 

Setelah mengemukakan permohonan lengkap mereka kepada AKPK, Bank akan memaklumkannya kepada pelanggan melalui e-mel.

 

Seterusnya, AKPK akan menghantar e-mel kepada pemohon berhubung pelan kewangan peribadi dan status permohonan.

 

URUS, sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober 2021, akan membolehkan industri perbankan untuk terus membantu pelanggan B50 dalam menguruskan komitmen pembiayaan mereka dalam persekitaran semasa yang mencabar akibat pandemik COVID-19.

 

Bank Islam kini bekerjasama rapat dengan AKPK dalam menawarkan URUS kepada pelanggan individu. Program yang dicipta bersama ini akan memastikan sokongan bermakna dan menyeluruh kepada segmen yang paling terjejas, menggalakkan daya tahan kewangan jangka panjang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya menjangkakan ekonomi Malaysia beransur pulih dengan lebih banyak aktiviti ekonomi dan perjalanan antara negeri dan antarabangsa dibenarkan.

 

Menurutnya, walaupun keadaan beransur-ansur kembali normal serta penyesuaian dengan norma baharu, Bank juga sedar bahawa pelanggan memerlukan sokongan kewangan tambahan.

 

bimb
Mohd Muazzam Mohamed

 


``Oleh itu, Bank Islam menggandakan usahanya untuk memastikan penyampaian perkhidmatan ke tahap yang terbaik dan mencapai kemakmuran mampan untuk Bank dan komuniti apabila kita pulih daripada kesan pandemik,” katanya.

 

Dengan pelaksanaan URUS kata beliau, ia akan membolehkan Bank Islam mengurangkan lagi kesan pandemik melalui penyediaan bantuan yang amat diperlukan kepada segmen komuniti yang paling terkesan, khususnya B50.

 

‘’Sebagai sebuah Bank yang `Mendahulukan Kemakmuran untuk Semua’, kami juga mempunyai pelbagai program bantuan kewangan untuk meringankan kekangan kewangan pelanggan sejak pandemik bermula.

 

‘’Di bawah Bantuan Pembayaran PEMULIH, setakat ini Bank telah membantu lebih 142,000 pelanggan runcit dan perniagaan. Kami mengakui bahawa pandemik ini menjejaskan semua, dan Bank terus komited untuk menyokong daya tahan kewangan pelanggan,” tambah Mohd Muazzam.

 

URUS tersedia sebagai permohonan pilihan (opt-in) untuk pelanggan di bawah program bantuan pembayaran sedia ada mulai 30 September 2021 bagi pelanggan di bawah kategori B50 (pelanggan berpendapatan isi rumah kurang daripada RM5,880) dan mengalami kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50%.

 

Pelan kewangan peribadi termasuk pengecualian keuntungan selama 3 bulan, pembayaran tertunda dan pilihan lain, termasuk pengurangan ansuran.

 

Program ini bertujuan untuk membantu pelanggan menguruskan komitmen pembiayaan keseluruhan mengikut kemampuan mereka. Pelan tersebut juga tersedia untuk pelanggan yang mempunyai pembiayaan tidak bercagar, termasuk kemudahan Kad Kredit-i Bank Islam.

 

Pelanggan dikehendaki mengemukakan hanya satu (1) daripada dokumen berikut untuk memohon:

• Penyata KWSP; atau

• Penyata bank; atau

• Borang cukai pendapatan; atau

• Slip gaji/baucar bayaran; atau

• Surat pemberhentian kerja daripada majikan terdahulu.

 

Walau bagaimanapun, Bank boleh meminta dokumen sokongan lain mengikut keperluan.

 

Mohd Muazzam berkata, industri Perbankan akan memperuntukkan anggaran RM1 bilion untuk membiayai kos pengurangan kos keuntungan, termasuk pengecualian keuntungan untuk pelanggan yang layak di bawah program ini.

 

``Walau bagaimanapun, pelanggan yang tidak memenuhi kriteria URUS adalah dinasihatkan untuk menghubungi kami bagi membincangkan pilihan pembayaran kewangan lain yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka. Bank Islam sedia membantu,” katanya.

 

Untuk memohon, pelanggan perlu mengisi e-Borang dan merujuk kepada soalan lazim (FAQ) bagi mengetahui lebih lanjut mengenai URUS di laman web Bank di www.bankislam.com/urus/ atau dengan mengimbas kod QR di bawah. – DagangNews.com

 

bank islam