Bank Islam dijangka beri fokus kepada pembiayaan berstruktur - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Bank Islam dijangka beri fokus kepada pembiayaan berstruktur - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jun - AmInvestment Bank Berhad menjangkakan Bank Islam Malaysia Berhad akan memberi fokus kepada pembiayaan berstruktur bagi mengurangkan risiko pembayaran balik pinjaman.

 

Firma itu berkata, mereka juga akan fokus kepada fintech rantaian bekalan selain menjalinkan kerjasama dengan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengembangkan pembiayaan kepada industri.

 

Mengenai inisiatif lain, firma itu berkata, kumpulan itu akan memanfaatkan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) atau Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi mengembangkan portfolio pinjaman PKS bagi mengurangkan risiko pinjaman.

 

"Antara inisiatif bagi pembangunan komuniti, Bank Islam sedang menjalinkan kerjasama dengan Sadaqa House untuk pembiayaan sosial dengan fokus pemberian dana untuk infrastruktur, kemudahan awam, penjagaan kesihatan, pendidikan dan projek perumahan mampu milik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu,  pada 1QFY22 kos kredit kumpulan adalah sebanyak 29bps dan masih berada dalam paduan 35bps seperti yang ditetapkan dan pengurusan masih mengekalkan panduan kos kreditnya. 

 

Firma itu berkata, tindanan atau penyelarasan akaun pelabur secara berasingan kekal stabil pada RM326.7 juta pada akhir Mac 2022 mewakili 29.6% daripada jumlah jangkaan kerugian kredit (ECL) kumpulan sebanyak RM1.1 bilion.

 

Berdasarkan QoQ, hanya RM8.8 juta daripada tindanan kumpulan telah digunakan dan ia berikutan kualiti aset yang lebih lemah bagi peminjam yang berada di bawah skim bantuan bayaran balik.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan kumpulan akan lebih berwaspada mengenai peruntukan dalam jangka masa terdekat," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk Bank Islam dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM3.30 berbanding RM3.80 sesaham. - DagangNews.com