KUALA LUMPUR 25 Nov - Prestasi kewangan 3QFY24 Affin Bank mencerminkan prospek seimbang kepada pelabur, disokong pendapatan yang lebih kukuh serta peningkatan kualiti aset tetapi terjejas oleh margin keuntungan yang mengecil, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Untung bersih 3QFY24 bank melonjak 23% dari suku tahun ke suku tahun (QoQ) kepada RM146 juta, menandakan peningkatan 45% dari tahun ke tahun (YoY), yang berada dalam jangkaan HLIB, membentuk 73% hingga 74% firma dan ramalan tahun penuh konsensus.
Pendapatan bukan faedah (NOII) meningkat 62%, disokong yuran yang teguh dan keuntungan tukaran mata wang asing, manakala nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) merosot kepada 1.74%, mencerminkan kejayaan pemulihan dan hapus kira.
Di sebalik keuntungan ini, margin faedah bersih (NIM) Affin Bank mengecil sebanyak sembilan mata asas pada suku tersebut, mengehadkan pertumbuhan keuntungan yang lebih pantas, dan kekurangan pengisytiharan dividen untuk 3QFY24 juga mencerminkan pendirian konservatif, dengan pembayaran dijangka pada 4QFY24.
HLIB berkata, nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) meningkat kepada 96% apabila deposit meningkat semula 3.3% dari tahun ke tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Keuntungan bersih Affin Bank melonjak 45% kepada RM145.82 juta pada Q3
"Kami menjangka NIM akan terus berdepan tekanan pada 4QFY24, memandangkan persaingan deposit tetap biasanya semakin mencabar bagi tempoh Oktober hingga Disember." katanya dalam satu nota kajian.
Strategi penjanaan pinjaman Affin Bank bertujuan menarik peminjam berkualiti tinggi, menandakan pertumbuhan sederhana dalam jangka pendek manakala prospek jangka panjang kelihatan lebih cerah, dengan Sarawak muncul sebagai pemegang saham terbesar mereka.
Walaupun cabaran masih kekal, termasuk risiko kualiti aset dan margin yang mengecil, HLIB menekankan harga saham Affin mencerminkan profil risiko-ganjaran yang lebih seimbang.
"Kami mendapati profil risiko-ganjaran Affin kini lebih seimbang kerana harga sahamnya telah jatuh kira-kira 16% daripada kemuncaknya pada Ogos 202," katanya.
HLIB telah meningkatkan penarafannya kepada "pegang" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi, RM3.10 sesaham. - DagangNews.com