Bank Islam disenaraikan, langkah penstrukturan dijangka selesai Ogos 2021 | DagangNews Skip to main content

Bank Islam disenaraikan, langkah penstrukturan dijangka selesai Ogos 2021

 

 

KUALA LUMPUR 1 April - Langkah penstrukturan BIMB Holdings Berhad (BHB) dijangka selesai menjelang Ogos 2021 yang menyaksikan Bank Islam Malaysia Bhd. mengambil alih status penyenaraian BHB.

 

Keputusan itu dibuat semalam pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dan Mesyuarat yang Diarahkan oleh Mahkamah (CCM) secara maya setelah mendapat kelulusan pemegang saham dan waran.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif BHB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, BHB ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang saham dan waran atas keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap BHB dan kumpulan syarikatnya sejak 24 tahun lalu. 

 

"Kami menerima sokongan padu daripada mereka semasa EGM dan CCM yang berlangsung semalam, yang mana hampir 100% telah mengundi untuk menyokong semua resolusi yang dibentangkan. 

 

"Kami berhasrat mengatur langkah yang lebih berkesan dalam bidang kewangan Islam dengan Bank Islam di tampuk teraju sebagai satu-satunya institusi kewangan Islam lengkap yang tersenarai," katanya. 

 

Pada Disember lalu, BHB mengumumkan akan meneruskan cadangan memindahkan status penyenaraiannya kepada anak syarikat milik penuh, Bank Islam.

 

Ia adalah sejajar usaha penstrukturan semula kumpulan yang akan membuka nilai signifikan kepada pemegang saham.

 

Selepas muktamad cadangan pelaksanaan itu, status penyenaraian BHB akan dipindahkan ke Bank Islam yang akan menjadi satu-satunya institusi kewangan Islam lengkap yang tersenarai di rantau ini, sekali gus meningkatkan kedudukan korporatnya. - DagangNews.com