Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Nov. Pembiayaan Mikro BangKIT yang ditawarkan Bank Islam Malaysia Berhad di bawah kontrak al-Qard (tanpa faedah) menyediakan pinjaman serendah RM500 hingga RM3,000 bagi perniagaan baharu.
Untuk mereka yang mahu mengembangkan perniagaan pula, ia menawarkan pembiayaan antara RM3,000 sehingga RM20,000 dengan tempoh bayaran balik antara 6 bulan sehingga 3 tahun.
Dana pembiayaan mikro ini akan diperoleh melalui Sadaqa House daripada penderma-penderma dalam kalangan institusi korporat dan orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, menerusi peruntukan awal sebanyak RM2 juta, Bank Islam menyasarkan dapat memberi manfaat kepada 300 hingga 350 usahawan mikro.
"Dalam tempoh 5 tahun (sehingga 2025), kita berharap dana ini dapat ditingkatkan sehingga RM20 juta dan dapat membantu antara 3,000 hingga 3,500 usahawan dalam tempoh itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Inisiatif Kewangan Sosial Bank Islam 2020 yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed secara maya hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr. Ismail Bakar.
Pada majlis itu, Bank Islam turut melancarkan Pembiayaan Mikro BangKIT iaitu inovasi pembiayaan mikro yang dibiayai oleh instrumen sedekah ini, merupakan inisiatif yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Para pelanggan yang mendapat manfaat fasiliti ini perlu menjalani latihan keusahawanan berstruktur bagi memastikan kemampanan perniagaan.
Antara syarat kelayakan termasuklah, perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan mempunyai rancangan perniagaan yang boleh diterima dan dapat dilaksanakan dengan unjuran aliran tunai positif untuk membayar balik pinjaman.
Selain itu, pemohon juga perlu mempunyai akaun dengan Bank Islam dan mesti disyorkan oleh pembuat perubahan.
Menurut Mohd. Muazzam, BangKIT ini disediakan khusus untuk membantu segmen usahawan mikro terpilih yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan perbankan mendapatkan modal.
"Ini dapat membantu mereka untuk memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan dan seterusnya membina rekod kredit bagi melayakkan mereka mendapat pembiayaan lain di masa hadapan," katanya. - DagangNews.com