Bank Islam terbitkan Sukuk Murabahah RM1 bilion, tarik lebih 3.2 kali ganda bidaan pelabur | DagangNews Skip to main content

Bank Islam terbitkan Sukuk Murabahah RM1 bilion, tarik lebih 3.2 kali ganda bidaan pelabur

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 16 Julai - Bank Islam Malaysia Berhad menerbitkan Sukuk Murabahah Kanan bernilai RM1 bilion di bawah Program Sukuk Murabahah RM10 bilion dalam nilai nominal (Program Sukuk Murabahah).

 

Terbitan Sukuk Murabahah Kanan ini telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelabur dengan nisbah bidaan kepada terbitan melebihi 3.2 kali ganda saiz terbitan selepas nilai dinaikkan daripada RM500.0 juta.

 

Hasil daripada terbitan ini akan dimanfaatkan untuk membiayai aktiviti perbankan dan keperluan modal kerja Bank Islam serta tujuan korporat lain.

 

"Penggunaan hasil di bawah Program Sukuk Murabahah ini juga adalah patuh Syariah," kata bank itu dalam satu kenyataan di sini.

 

 

bimb

 

 

Dengan tempoh masing-masing 5 dan 7 tahun, Sukuk Murabahah Bank Islam diberi penarafan AA3/stabil oleh RAM Ratings Services Bhd.

 

"Ia menawarkan kadar keuntungan tetap sebanyak 4.01% dan 4.13% setahun," kata Bank Islam.

 

Bank Islam adalah Penasihat Utama, Pengatur Utama, Ketua Pengurus dan Penasihat Syariah bagi Program Sukuk Murabahah tersebut. - DagangNews.com