KUALA LUMPUR 12 Mei - Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan langkah proaktif oleh bank pusat itu bagi membendung trend inflasi.
Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata: “Kita seharusnya perlu lihat kenaikan OPR ini daripada pelbagai aspek.”
''Benar, bagi pelanggan bank yang mempunyai kontrak pembiayaan sedia ada seperti pembiayaan perumahan, peribadi serta pembiayaan perniagaan yang mengguna pakai kadar berubah atau variable bakal menyaksikan kenaikan di dalam ansuran bulanan mereka.
“Namun, bagi mereka yang mahu menyimpan wang mereka di institusi perbankan seperti simpanan tetap, mereka ini bakal menikmati pulangan yang lebih tinggi.
“Simpanan mereka akan terus meningkat berikutan pulangan yang tinggi akibat peningkatan OPR.
“Justeru, kita perlu melihat kesan kenaikan dalam konteks yg lebih luas,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.
Menurut laporan kenaikan ini bakal meningkatkan semua pembayaran pinjaman berlandaskan apungan di institusi kewangan di Malaysia.
Justeru, ia dijangka akan memberi tekanan kepada pengguna dan perniagaan yang mempunyai pinjaman di bank pada kadar yang diapungkan.
Namun menurut Dr Afzanizam, s selain kenaikan OPR ini juga bakal meningkatkan ruang bagi BNM utk bertindak ketika menghadapi suasana ekonomi yg mencabar. Ini seperti situasi COVID-19 yang kita alami pada tahun 2020 dan 2021.
Dr Afzanizam berkata kadar OPR di turunkan secara drastik daripada 3 peratus pda akhir tahun 2019 kepada 1.75% pada Julai 2020.
Katanya, kadar ini merupakan yg terendah dalam sejarah OPR dan kini ia telah dinaikan kepada 2%. Konteks kenaikan OPR adalah berdasarkan situasi ekonomi yang semakin pulih.
“ Sebagai contoh, kadar pengangguran negara yang melonjak ke paras 5.3% pada bulan Mei 2020 telah merosot kepada 4.1% pada bulan Mac 2022.
“Ini bererti ramai rakyat Malaysia yang sudah mula mendapatkan pekerjaan.
“Kemudian apabila kekangan pergerakan mula dilonggarkan, kita dapat melihat keadaan trafik penumpang dilapangan terbang naik dengan mendadak,” katanya.
Dr Afzanizam berkata pada suku pertama tahun 2022, trafik penumpang dilapangan terbang mencecah 8.32 juta orang berbanding 1.67 juta orang pada tempoh yang sama tahun lalu.
Angka ini telah melonjak sebanyak 399.6% pada suku pertama 2022. Oleh itu, OPR pada 1.75% sudah lagi tidak sesuai untuk mencerminkan kedudukan ekonomi semasa yang dilihat bertambah baik. - DagangNews.com.