KUALA LUMPUR 5 Sept - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa inflasi dan pertumbuhan.
Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berterusan disebabkan oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus menurun dan dasar monetari yang kurang ketat.
"Perdagangan global dijangka terus pulih dengan sokongan produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk bukan E&E.
"Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, volatiliti dalam pasaran kewangan global dan momentum pertumbuhan yang lebih perlahan di ekonomi-ekonomi utama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jawatankuasa itu berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1% pada separuh pertama tahun 2024 dengan penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih giat.
Pada masa hadapan, eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan E&E yang terus kukuh
Pengembangan mantap aktiviti pelaburan akan berterusan disebabkan oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan.
"Import pengantaraan dan modal yang lebih tinggi akan memberikan sokongan lanjut kepada eksport dan pelaburan.
"Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
"Sementara itu, risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek pelaburan," katanya.
BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8% pada separuh pertama tahun 2024 dan kesan limpahan daripada pelarasan harga diesel kepada harga secara amnya terkawal berikutan keberkesanan langkah-langkah pengurangan dan penguatkuasaan untuk meminimumkan kesan kos kepada perniagaan.
Bagi seluruh tahun 2024, purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal dalam julat yang diunjurkan sebelum ini dan berkemungkinan tidak melebihi 3%.
Katanya, risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri terhadap subsidi dan kawalan harga kepada trend harga yang lebih luas, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan.
Sementara itu bank pusat itu berkata, pemulihan nilai ringgit baru-baru ini didorong oleh perubahan jangkaan berhubung dengan kadar faedah dasar yang lebih rendah di ekonomi-ekonomi utama, khususnya di Amerika Syarikat (AS), serta prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh.
"MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri menuju tahun 2025.
"Jawatankuasa ini akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya.- DagangNews.com