Bank Pembangunan perkasa bahasa Inggeris belia | DagangNews Skip to main content

Bank Pembangunan perkasa bahasa Inggeris belia

Bank Pembangunan Malaysia perkasa bahasa Inggeris belia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) baru-baru ini menganjurkan bengkel Bahasa Inggeris, Road to Excellence kepada  63 pelajar tingkatan lima SMK Seri Titiwangsa.

 

Inisiatif tersebut adalah sebagai langkah persediaan akhir untuk para pelajar sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula 22 Februari 2021. 

 

Bengkel itu bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan teknik asas pelajar yang bakal menduduki kertas Bahasa Inggeris SPM 2020 selain memberi fokus kepada penulisan karangan.

 

Selain memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, ia turut memupuk kesedaran pelajar tentang Matlamat Pembangunan Mampan. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, sebagai salah satu Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia, BPMB berperanan untuk membantu dalam usaha pembangunan negara.

 

"Oleh itu, demi menggalas tanggungjawab sosial kami sebagai warga korporat, BPMB kekal komited untuk mendorong anak muda kita mencapai potensi mereka yang sepenuhnya.

 

"Kami berasa sangat gembira kerana telah berjaya menganjurkan bengkel SPM Bahasa Inggeris, Road to Excellence untuk pelajar SMK Seri Titiwangsa kerana pendidikan merupakan teras untuk menuju ke arah masa depan yang cerah. 

 

"Sedikit sebanyak, kami berharap agar usaha kami ini akan dapat membantu pertumbuhan positif ke atas pembelajaran para pelajar dan boleh menjadi panduan untuk mereka sebelum melangkah ke fasa kehidupan yang seterusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Sekolah Angkat BPMB–SEEDS
(Supporting English Empowerment to Drive Sustainability).

 

SMK Seri Titiwangsa merupakan sekolah pertama yang mendapat manfaat daripada program tersebut susulan majlis pelancaran rasmi yang diadakan pada 15 September 2020. 

 

Sebagai perancangan di masa hadapan, BPMB akan terus menjalankan tugas pihaknya untuk menyumbang kepada komuniti dan masyarakat sekeliling khususnya melalui program SEEDS. - DagangNews.com