Bankrap: Antara keperluan dan keinginan | DagangNews Skip to main content

Bankrap: Antara keperluan dan keinginan

Kesedaran tentang pengurusan kewangan yang baik harus diterapkan dalam diri sejak dari peringka sekolah lagi. - Gambar hiasan Melinda Gimpel
Oleh Siti Azrina Adanan

RAMAI rakyat Malaysia ada kesedaran yang terhad tentang pengurusan kewangan berkesan. Walaupun nampak ringan, tetapi ia dapat memberi impak jangka panjang kepada seseorang individu.

 

Pengurusan kewangan yang lemah bukan sahaja dapat dilihat dalam kalangan orang yang tiada pendidikan tinggi, malahan mahasiswa dan pegawai berjawatan tinggi juga tidak terlepas dari masalah ini.

 

Kesan dari pengurusan kewangan yang lemah ini dapat membawa kepada pelbagai kesan negatif seperti masalah kewangan yang serius, tahap keberhutangan yang tinggi, kemurungan, bertindak di luar kewarasan dan boleh menjerumuskan individu ke dalam status muflis atau bankrap.

 

Bankrap dan Pinjaman Peribadi

Di Malaysia, seseorang individu boleh diisytiharkan bankrap apabila tiada keupayaan untuk membayar hutang yang melebihi RM100,000 melalui satu Perintah Kebankarapan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.

 

Berdasarkan data dari laporan kebankrapan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, pinjaman peribadi merekodkan sebab utama yang membawa kepada kebankrapan di Malaysia iaitu sebanyak 49.22% untuk tahun 2019 hingga April 2023.

 

Dewasa ini, dapat dilihat ramai yang terpengaruh dengan gaya hidup yang melebihi dari kemampuan. Tawaran-tawaran pinjaman peribadi yang ‘membuka mata’ bakal peminjam  menjerat mereka tanpa mereka sedari.

 

Pinjaman tanpa cagaran, lulus 24 jam, kadar faedah rendah antara tarikan yang ditawarkan oleh syarikat pemberi pinjaman.  Ia memberi kesan yang baik jika peminjam bijak menguruskan kewangan.

 

Namun, jika alpa, ia memberi kesan negatif yang pastinya tidak hanya membebankan peminjam, malah seisi keluarga.

 

Tidak dinafikan ada yang terpaksa mendapatkan pinjaman peribadi untuk kelangsungan hidup terutamanya selepas wabak COVID-19 menyerang beberapa tahun lalu dimana ramai rakyat Malaysia yang hilang punca pendapatan.

 

Namun, ramai juga peminjam menggunakan wang hasil dari pinjaman mudah ini untuk memenuhi keinginan mereka yang diluar dari keperluan dan kemampuan.

 

Ada yang menggunakan pinjaman peribadi untuk melancong, membayar muka untuk membeli kereta atau kediaman mewah, berbelanja semata-mata untuk pengisian bahan cerita di media sosial dan pelbagai tujuan lain yang tidak sewajarnya dibelanjakan.

 

Lebih memburukkan keadaaan apabila ramai generasi muda terlibat dengan aktiviti perniagaan mata wang (FOREX) yang rata-ratanya terjun ke dalam bidang itu tanpa pengetahuan yang cukup tentang strategi pelaburan.

 

Mereka adakalanya melabur ribuan ringgit hanya berpandukan panduan di dalam Tik Tok dan kumpulan sokongan di Telegram.

 

Demi untuk cepat kaya, mereka mengambil jalan mudah dengan mendapatkan modal permulaan dengan cara menggunakan pinjaman peribadi. 

 

Inisiatif Mengurangkan Kes Bankrap

Oleh itu, kesedaran tentang pengurusan kewangan yang baik ini harus diterapkan dalam diri sejak dari awal lagi.

 

Di sekolah dan pusat pengajian tinggi contohnya, para pendidik boleh memulakan program ‘Celik Kewangan’ bagi memberi pendedahan kaedah pengurusan kewangan yang baik.

 

Antaranya, murid dan pelajar didedahkan tentang cara membezakan antara keperluan atau kehendak, risiko setiap keputusan yang melibatkan kewangan, dan penyediaan penyata kewangan ringkas.

 

Sejak kebelakangan ini, banyak syarikat korporat terutamanya bank-bank yang bekerjasama dengan sekolah dan pusat pengajian tinggi untuk tujuan ini yang mana ianya sangat membantu dalam mencapai objektif yang diharapkan.

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam menerbitkan modul Celik Kewangan yang kini telah diguna pakai di 200 sekolah di Malaysia dan dalam perancangan untuk diperluaskan lagi penggunaannya.

 

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, modul ini dapat memberi nilai tambah kepada kurikulum sedia ada yang sedang digunakan oleh persatuan dan kelab bersasaskan pengurusan kewangan.

 

Jika dipupuk dari awal, mereka akan lebih peka tentang akibat dari salah urus kewangan ini dan seterusnya mempertimbangkan pelbagai kemungkinan sebelum berbelanja.

 

Justeru, tidak hanya mengharapkan kerajaan semata-mata, setiap individu boleh memainkan peranan masing-masing dalam memberi kesedaran secara langsung atau tidak langsung kepada orang-orang terdekat seperti ahli keluarga dan rakan sekerja dalam memberi kesedaran kepada mereka tentang salah urus kewangan yang mungkin sedang berlaku.

 

Ini dapat mengurangkan risiko mereka terjerumus ke dalam masalah kewangan yang lebih kritikal sehingga membawa kepada kepada kebankrapan.

 

Kesimpulannya, rancanglah perbelanjaan sesuai dengan kemampuan kita. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, timbanglah sebaik-baiknya dengan meletakkan keutamaan pada keperluan, bukan kehendak. - DagangNews.com

 

 
 
 
Siti Azrina Binti Adanan adalah Penyarah Kanan Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka