Bantuan 2 kontena untuk penempatan sementara mangsa banjir tiba di lokasi - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Bantuan 2 kontena untuk penempatan sementara mangsa banjir tiba di lokasi - Muhyiddin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Sumbangan dua unit kontena yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk dijadikan penempatan sementara bagi dua keluarga mangsa banjir di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui berjaya ditunaikan.

 

Muhyiddin yang juga Presiden Majlis Pemulihan Negara (MPN) memberitahu, satu unit kontena telah dihantar petang semalam dan satu lagi tiba di lokasi hari ini.

 

Beliau berkata, kontena sumbangan Skuad Prihatin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu akan dijadikan tempat tinggal sementara dua keluarga terlibat setelah rumah mereka dibawa arus dalam kejadian banjir besar minggu lalu.

 

"Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban kepada keluarga terlibat yang kehilangan tempat berlindung dalam sekelip mata minggu lalu.

 

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Skuad Prihatin BERSATU akan meneruskan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan tumpuan kepada kerja-kerja membersihkan rumah dan memberi bantuan berupa barangan makanan harian, peralatan keperluan dapur serta barangan keperluan bayi dan kanak-kanak," katanya di laman Facebook, hari ini.

 

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, Dana yang diterima oleh Tabung Bencana Banjir BERSATU yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU baru-baru ini telah digunakan untuk membantu mangsa-mangsa terlibat. 

 

kontena

 

Selain itu, tabung tersebut turut menerima sumbangan daripada orang perseorangan dan dermawan lain.

 

"Sekali lagi saya menyeru marilah sama-sama kita membantu dan menyumbang dalam apa cara cara dan bentuk sekali pun yang termampu bagi membantu mangsa bancana alam ini membina kembali kehidupan mereka terutama selepas banjir berakhir.

 

"Kepada para sukarelawan dan petugas barisan hadapan teruskan kerja-kerja murni ini, Insya Allah anda semua akan dilindung dan diberkati Allah SWT," katanya. - DagangNews.com