Bantuan Bakul Makanan: Setiap Ahli Parlimen diperuntuk RM300,000 | DagangNews Skip to main content

Bantuan Bakul Makanan: Setiap Ahli Parlimen diperuntuk RM300,000

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Sebagai tambahan kepada Bantuan Bakul Makanan sedia ada, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen untuk melaksanakan program tersebut yang disasarkan buat golongan terjejas di kawasan masing-masing.

 

Selain itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak RM10 juta juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus buat masyarakat Orang Asli. 

 

“Kerajaan sedar bahawa barangan keperluan asas amat penting bagi golongan yang memerlukan. 

 

Pemulih

 

“Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik. Baik Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan. 

 

“Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan parlimen masing-masing,” ujarnya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), hari ini.

 

Seterusnya, bagi menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 hingga 5 kilogram (kg), Muhyiddin berkata, kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah. 

 

Pemulih

 

Sebagai contoh, harga minyak masak botol 5 kg dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 ringgit sebotol, ujar beliau lanjut.

 

Tambah Muhyiddin, dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1 kg terjamin, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion. 

 

Melalui tambahan peruntukan ini, katanya, rakyat masih dapat membeli minyak masak tersebut pada harga bersubsidi RM2.50.

 

“Sejak dilanda pandemik ini, kita banyak mendengar mengenai masalah sosial. Antaranya termasuklah masalah tekanan mental dan emosi.

 

Pemulih

 

“Kerajaan akan memperluaskan sokongan psikososial melalui saluran seperti talian kasih. 

 

“Sebagai tambahan, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM15 juta kepada badan-badan bukan kerajaan atau NGO dalam membantu kerajaan menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti,” jelasnya lagi. - DagangNews.com