Bantuan bayaran balik pinjaman dimanfaat 95,800 peminjam PMKS, 2.7 juta peminjam individu - PM | DagangNews Skip to main content

Bantuan bayaran balik pinjaman dimanfaat 95,800 peminjam PMKS, 2.7 juta peminjam individu - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan bayaran balik pinjaman telah dimanfaatkan 95,800 peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan 2.7 juta peminjam individu, dari 1 Jun sehingga 31 Disember 2021. 

 

Beliau berkata, sejak bermulanya pandemik COVID-19, dana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bank Negara Malaysia (BNM) telah dimanfaatkan lebih daripada 53,000 PMKS dengan jumlah pembiayaan berjumlah hampir RM20 bilion.

 

Jelasnya,  pinjaman kepada segmen perniagaan oleh sektor perbankan turut mencatatkan perkembangan 4.9% dengan jumlah pengeluaran pinjaman atau disbursements sebanyak RM84 bilion pada suku keempat 2021. 

 

"Ingin saya tegaskan bahawa inisiatif-inisiatif (Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia) tidak mengambil kira penambahbaikan kepada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi PMKS yang terjejas yang telah saya umumkan baru-baru ini. 

 

"Jelas sekali, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia mencerminkan prinsip Keluarga Malaysia di mana “tiada yang dipinggirkan”, bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat. 

 

"Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia akan menjadi pelengkap kepada usaha Kerajaan melalui sektor kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman terutamanya dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini," katanya katanya ketika berucap merasmikan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir Menteri Kewangan,  Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

 

Perdana Menteri berkata, bagi PMKS yang menghadapi masalah pembiayaan perniagaan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) sedia menawarkan perkhidmatan percuma termasuk Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) merangkumi bantuan penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan sedia ada.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Foto Bernama)

 

 

Menurut Ismail Sabri, dalam jangka masa panjang, adalah mustahak bagi sektor PMKS menjadi pemacu baru kepada pertumbuhan negara. 

 

Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), transformasi PMKS merupakan salah satu daripada pelbagai projek game changer yang akan dilaksanakan untuk meningkatkan daya saing dan sumbangan segmen ini kepada pembangunan ekonomi negara. 


 
"Antara inisiatif yang akan dilaksanakan, termasuk pelaksanaan sebuah pelan hala tuju digital PMKS, peralihan fokus PMKS dari pasaran bertumpu tempatan ke pasaran dunia, pelaksanaan program intervensi second chance bagi peniaga tertentu dan pemerkasaan ekosistem koperasi dalam menjana generasi usahawan yang baru. 

 

"Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital, yang bakal memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi. 

 

"Insya-ALLAH, inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  negara ke 45%, sumbangan kepada eksport negara ke 25% dan menjana 2 “unicorn” kebanggaan Malaysia menjelang 2025," katanya.

 

Tambah beliau, secara tidak langsung setelah sektor perniagaan pulih, peluang pekerjaan juga akan bertambah, seterusnya sasaran 600,000 peluang pekerjaan akan tercapai melalui sumbangan penciptaan pekerjaan di sektor PMKS. - DagangNews.com