BERA 7 Nov - Pemberian bantuan dan geran khas kepada pengusaha syarikat Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) lebih baik berbanding moratorium khas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemberian moratorium khas bukan penyelesaian jangka panjang kerana peniaga masih perlu membayar pinjaman.
Justeru, beliau berkata, kerajaan pimpinannya memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada PMKS termasuk geran berjumlah RM1 bilion membantu meringankan beban mereka.
"Saya nafikan (menolak cadangan moratorium khas) kerana ia bukan menyelesaikan masalah secara menyeluruh kerana pinjaman masih perlu dibayar.
"Menerusi Bajet 2023, kerajaan perkenalkan pelbagai inisiatif seperti geran percuma, dana dan pinjaman kepada PMKS yang boleh dijadikan modal dan menambah baik perniagaan.
"Saya tidak pernah menolak (moratorium khas) tetapi menambah baik dan perkenalkan pelbagai bantuan dana untuk PMKS," katanya ketika ditemui selepas Majlis Kenduri Rakyat di Felda Sebertak, di sini hari ini, Berita Harian melaporkan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, kerajaan Ismail Sabri sebelum ini menolak pelaksanaan moratorium khas untuk sektor PMKS.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga calon BN bagi Parlimen Bera memaklumkan, Bajet 2023 yang dibentangkan akan menjadi sebahagian manifesto Barisan Nasional (BN) dan realistik untuk ditunaikan.
Katanya, bajet berkenaan sudah mengambil kira pelbagai faktor termasuk keupayaan kewangan kerajaan sebelum dibentangkan.
"Apabila mereka (parti lawan) lihat bajet yang dibentangkan baik dan menyeluruh, jadi mereka ciplak.
"Saya bersama Menteri Kewangan menjadi arkitek untuk Bajet 2023 dan berpijak di bumi nyata.
"Manifesto BN bukan seperti Pakatan Harapan (PH) yang dibuat semata-mata mahukan undi tetapi kita (BN) yakin ini bajet yang dapat ditunaikan," katanya. - DagangNews.com