Bantuan ibu bersalin, Endowment Fund Sarawak diteruskan ke 2021 | DagangNews Skip to main content

Bantuan ibu bersalin, Endowment Fund Sarawak diteruskan ke 2021

Sarawak

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Bantuan Ibu Bersalin (BIB) sebanyak RM450 akan terus diberikan kepada ibu baharu termasuk mereka yang melahirkan anak di luar negeri pada tahun 2021.

 

Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) berkata, permohonan pembayaran BIB yang telah diluluskan pada tahun 2020 akan dibuat pada tahun ini, lapor Dayak Daily.

 

Insentif BIB mula diperkenalkan pada akhir 2019 dengan bantuan sebanyak RM450 kepada setiap ibu yang melahirkan anak bermula 1 Januari 2020.

 

Dengan peruntukan sebanyak RM18 juta, insentif itu bertujuan untuk meringankan beban ibu baharu untuk menyediakan keperluan bayi serta rawatan selepas bersalin dalam tempoh berpantang.

 

Kelayakan bagi insentif tersebut ialah warganegara Malaysia, ibu pemegang Kad Pengenalan Sarawak berstatus 'K' atau isteri kepada pemegang Kad Pengenalan berstatus K (Sarawak Connection), melahirkan bayi di dalam atau luar Sarawak.

 

Pendaftaran bantuan tersebut boleh dibuat apabila kandungan mencapai usia 22 minggu dan ke atas sehingga tiga bulan selepas bersalin.

 

Sementara itu, Endowment Fund Sarawak (EFS) yang menyediakan bantuan RM1,000 kepada setiap anak Sarawak yang baru dilahirkan turut diteruskan kepada tahun 2021.

 

Inisiatif yang diperkenalkan KWKPK pada 2019 itu bertujuan untuk memberi sokongan dan jaminan masa hadapan anak Sarawak yang baru dilahirkan.

 

Dana tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun bank anak dan hanya boleh dikeluarkan apabila anak tersebut mencapai usia 18 tahun.

 

Dana tersebut boleh digunakan bagi tujuan pengajian ke kolej atau universiti selain boleh dijadikan modal untuk memulakan kerjaya pada masa akan datang. - DagangNews.com