Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 22 Mac. - Kerajaan bersetuju memberi bantuan khas kewangan kepada warganegara Malaysia dan warganegara asing yang mendapat kesan sampingan yang serius selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah Program Imuniasasi COVID-19 Kebangsaan.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dan penerima vaksin serta terus berusaha meningkatkan keyakinan masyarakat bagi menerima suntikan vaksin berkenaan.
Susulan itu, kerajaan telah meluluskan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 seperti berikut;
- RM50,000 jika berlaku kesan sampingan yang serius kepada penerima vaksin COVID-19 yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital
- RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin COVID-19
Tambah beliau, bagi tujuan tersebut, kerajaan bersetuju menyediakan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Bantuan khas ini merupakan langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan daripada penggunaan vaksin COVID-19.
"Selain itu, bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin ini akan dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga yang berkemungkinan terjejas akibat kesan daripada pengambilan vaksin ini kelak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi melancarkan perkara tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan tiga jawatankuasa bagi memantau dan menilai kesan mudarat susulan imunisasi dan isu keselamatan yang berkaitan.
Tiga jawatan kuasa tersebut adalah seperti berikut;
- Jawatankuasa Farmakovigilans Khas bagi Pemantauan Vaksin COVID-19 bagi memantau dan menilai kesan mudarat susulan imunisasi (AEFI) dan isu keselamatan yang berkaitan dengan vaksin COVID-19.
- Jawatankuasa Teknikal Perubatan untuk menentukan sama ada kes permohonan bantuan khas kewangan mempunyai hubung kait dengan vaksin COVID-19.Penilaian akan dibuat secara case to case basis berdasarkan bukti yang diterima dan laporan Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Pemantauan Vaksin COVID-19
- Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 untuk memberi kelulusan bantuan khas kewangan berdasarkan keputusan kedua-dua jawatankuasa.
Adham berkata, bantuan khas kewangan berkenaan akan diberikan kepada penerima vaksin yang terkesan setelah dinilai oleh tiga jawatankuasa berkenaan. - DagangNews.com