Bantuan 'one-off' barisan hadapan, pesara polis diperluas | DagangNews Skip to main content

Bantuan 'one-off' barisan hadapan, pesara polis diperluas

petugas barisan hadapan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Bantuan secara 'one-off' kepada petugas barisan hadapan negara dan pesara polis diperluas kepada kategori penerima baharu.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan bersetuju untuk memperluas bantuan one-off kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300.

 

"Melalui ucapan Belanjawan 2021, kerajaan telah mengumumkan bantuan khas 'one-off' kepada petugas barisan hadapan kesihatan sebanyak RM500.

 

"Sepanjang perbahasan saya telah mendengar cadangan daripada ahli-ahli parlimen mengenai perlunya mempertimbangkan bantuan khas kepada barisan hadapan yang lain yang turut bertugas dengan penuh dedikasi dan komitmen.

 

Zafrul Tengku Abdul Aziz
Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

"Jesteru, ingin saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memanjangkan bantuan khas secara one-off kepada semua petugas barisan hadapan yang lain sebanyak RM300," katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Ditanya mengenai kategori barisan hadapan yang diperluas itu, beliau sekali lagi memberitahu, penerima bantuan tersebut adalah termasuk pegawai polis, tentera, RELA, pegawai imegresen, NADMA dan sebagainya.

 

Dalam ucapan penggulungan tersebut, beliau turut mengumumkan untuk meluaskan lagi kategori penerima inisiatif pemberian one-off sebanyak RM500 yang melibatkan 40,000 pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN).

 

Ujar beliau, keputusan itu diambil setelah menilai kepada cadangan oleh Persatuan Bekas Polis Malaysia.

 

"Setelah mengambil kira cadangan oleh Persatuan Bekas Polis Malaysia, sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan bersetuju bagi meluaskan lagi kategori penerima one-off tersebut kepada kategori pesara dan bekas polis dengan implikasi penerima tambahan adalah dianggarkan seramai 40,000 orang lagi.

 

"Ini menjadikan jumlah penerima pemberian one-off ini seramai 80,000 orang dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM40 juta," jelas beliau lagi.

 

Dalam penggulungan Belanjawan 2021 petang ini, Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2021) diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian.- DagangNews.com