Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja antara institusi yang pantas menyediakan bantuan kepada rakyat semasa krisis pandemik COVID-19. - Gambar MalayMail
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Sistem perlindungan sosial di Malaysia perlu disusun semula supaya lebih inklusif setelah terkesan akibat jurang yang diwujudkan oleh pandemik COVID-19, menurut Khanazah Research Institute (KRI).
Menerusi laporan terbaharunya, Menongkah Badai: Ke arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia, ia mendapati, sebahagian besar program kebajikan sosial bersifat bantuan jangka pendek, tidak didasari dengan komitmen dari segi perundangan dan sumber kewangan yang kukuh.
"Hal ini menghasilkan program-program yang kurang lestari, memberi faedah yang tidak mencukupi dan tidak menentu serta tidak selaras dan bertindih.
"Walaupun terdapat perlindungan skim insurans sosial untuk penduduk bekerja, liputannya hanya tertumpu kepada pekerja dalam sektor formal sahaja," katanya dalam laporan berkenaan yang diterbitkan hari ini.
Menurut KRI, dalam situasi sumber fiskal terbatas, kebanyakan skim bantuan sosial hanya disasarkan kepada golongan miskin yang dianggap layak.
Namun, garis kemiskinan yang digunakan untuk menentukan kelayakan penerima bantuan berada pada tahap minimum dan kadangkala tidak sejajar dengan keperluan hidup semasa.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dasar kerajaan telah beralih kepada isi rumah berpendapatan 40% terbawah (B40) sebagai kumpulan sasaran, berbanding hanya kepada golongan miskin.
"Namun, masih terdapat cabaran dalam penggunaan pendekatan ini. Kajian KRI sebelum ini menunjukkan dasar perlindungan sosial perlu dilihat secara lebih meluas kerana sekurang-kurangnya 70% isi rumah mudah terjejas akibat situasi luar jangka dan menghadapi kekangan untuk berbelanja dengan selesa," jelasnya.
Sehubungan itu, KRI menegaskan, Malaysia harus beralih daripada model berkebajikan yang hanya menyasarkan golongan miskin, kepada pendekatan kitaran hidup yang lebih bersifat mencegah kemiskinan dan meningkatkan daya tahan dalam menangani kerentanan.
Berdasarkan model ini, dasar yang dibentuk menyediakan asas perlindungan sosial di sepanjang jangka hayat seseorang.
Untuk membina asas perlindungan sosial sepanjang hayat, laporan tersebut menggariskan beberapa pertimbangan dasar, melibatkan komitmen pelaburan penting yang lebih tinggi dari pihak kerajaan.
Melalui strategi pelaksanaan yang berperingkat, dasar-dasar ini boleh dilaksanakan dan akan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih berdaya tahan dan adil.
Dasar yang dicadangkan oleh KRI dalam laporan tersebut termasuklah melabur dalam manfaat kanak-kanak, memperluaskan liputan mandatori skim insurans sosial dan membangunkan pencen insurans sosial untuk warga emas.
"Selain itu, ia juga harus memberi tumpuan dalam merealisasikan dasar yang dicadangkan secara berperingkat melalui pemantapan insititusi perlindungan sosial, pengenalan atau pindaan undang-undang yang berkaitan, dan peningkatan pendapatan kerajaan melalui reformasi cukai serta membangunkan sebuah institusi perlindungan sosial negara dan sistem maklumat bersepadu," katanya.
Sementara itu, dalam majlis pelancaran laporan tersebut, Pengerusi KRI, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, institusi perlindungan sosial seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memang bergerak pantas dalam menyalurkan bantuan semasa krisis sekarang.
Namun, katanya, liputan bagi skim-skim berbentuk insurans sosial, kebanyakannya masih terhad kepada pekerja sektor formal yang membuat caruman.
Menurut beliau, sudah sampai masanya bagi kerajaan mentransformasi model sedia ada supaya negara lebih bersedia menghadapi masa hadapan yang kian mencabar, seperti kadar penuaan penduduk dan keadaan pasaran buruh yang lemah.
"Cabaran-cabaran ini, jika tidak ditangani, boleh menggugat kemampuan negara dalam memastikan kebajikan rakyat pada masa akan datang.
"Oleh itu, adalah penting kita mengenal pasti dan cuba menangai isu-isu utama sistem perlindungan sosial Malaysia bermula dari sekarang,” kata beliau. - DagangNews.com