Barakah Offshore cadang adakan lelongan lupus Kapal Kota Laksamana 101 bernilai RM53.28 juta | DagangNews Skip to main content

Barakah Offshore cadang adakan lelongan lupus Kapal Kota Laksamana 101 bernilai RM53.28 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - Barakah Offshore Petroleum Berhad akan mengadakan lelongan bagi melupuskan Kapal Kota Laksamana 101 (Kapal KL101) bernilai AS$11.4 juta (RM53.28 juta).

 

Kumpulan itu berkata, sejak 12 bulan lepas, syarikat itu telah meneliti empat cadangan, formal dan tidak formal, daripada pembeli yang berminat untuk kapal berkenaan.

 

"Cadangan itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan. 

 

"Sehubungan itu, Barakah dan anak syarikatnya bercadang untuk menjalankan lelongan untuk mendapatkan pembeli bagi melupuskan Kapal KL101," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi memudahkan proses lelongan, Barakah pada 12 Jun 2023, melantik TS Maritime Sdn. Bhd. sebagai perunding teknikal dan pada 14 Julai lalu melantik Zhejiang Shipping Exchange Co Ltd sebagai pelelong dan Zhoushan Yi Ge Ship Auction Co. Ltd sebagai pemegang amanah proses berkenaan.

 

Mengambil kira kedudukan kewangan kumpulan dan keadaan kapal, mengekalkan kapal akan menyebabkan kumpulan itu terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bagi menjalani penyelenggaraan berjadual, kesahihan pensijilan dan ujian fizikal atau laut.

 

Kumpulan itu berkata, kos asal pelaburan kapal itu ialah RM334.61 juta.

 

Katanya, hasil daripada lelongan itu akan disalurkan kepada pembayaran balik obligasi penyelesaiannya.

 

Menurut laporan tahunan terkini Barakah, jumlah pinjamannya meningkat kepada RM52 juta daripada RM49 juta pada FY22, disebabkan turun naik dalam kadar pertukaran wang asing kerana pinjaman kumpulan itu adalah dalam dolar Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com