Basikal lajak: cari penyelesaian waras, bukan sekadar petisyen | DagangNews Skip to main content

Basikal lajak: cari penyelesaian waras, bukan sekadar petisyen

Masyarakat terutama netizens dengan laptop mula hilang empati dengan kanak-kanak, terutamanya yang miskin bandar dan terus hidup dengan kekurangan. - Gambar Bernama
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

ISU basikal lajak kebelakangan ini semakin hangat dibahas masyarakat dan netizen secara terbuka. Kegiatan basikal lajak dilihat menjadi satu masalah kerana mendatangkan bahaya kepada penunggangnya dan pengguna jalan raya yang lain. Basikal lajak sememangnya haram berada di atas jalan raya.

 

Saya tidak mahu mengulas kes berkenaan kerana telah menemui keputusan mahkamah. Walau terdapat limpahan sokongan untuk Sam Ke Ting. Pelbagai petisyen telah dimulakan oleh orang ramai untuk mendapatkan keadilan dengan berhujah bahawa pertuduhan itu tidak adil dan bahawa dia tidak bersalah.

 

Saya ingin mengulas empati terhadap kanak-kanak dengan setiap basikal yang berada di atas jalan raya hendaklah dikayuh secara beriringan, bersopan dan tidak melulu.

 

Basikal yang dikayuh di atas jalan raya tanpa secara beriringan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

 

Selain itu, spesifikasi yang ditetapkan JPJ ke atas sesebuah basikal mestilah bersifat secara menyeluruh atau sempurna iaitu perlu mempunyai brek, loceng, lampu, rantai serta tayar yang bersesuaian.

 

Isu ini telah menimbulkan kerisauan pelbagai pihak termasuklah penguatkuasa, ibu bapa dan pengguna jalan raya yang lain.

 

Saya ingin mengulas lebih lanjut empati tentang bagaimana kanak-kanak itu dibesarkan akan menjadi seorang dewasa dari cara mereka dibesarkan untuk menghadapi dunia.

 

Netizens ada yang terus menyalahkan kanak-kanak yang bermain basikal lajak dengan tidak memikirkan kehidupan kanak-kanak di tempat dibesarkan.

 

Mungkin yang mengkritik tidak faham perasaan, emosi, psikologi untuk tinggal di rumah sempit dengan ibu bapa sibuk bekerja di pejabat atau kilang serta ketiadaan padang permainan dan rekreasi.


 

fudzail

 


Saya berasal dari kampung dengan padang permainan cukup luas untuk kanak-kanak bermain. Saya bermain setiap hari dari asar hingga ke maghrib dengan kawan-kawan.

 

Ada padang permainan dengan balai raya untuk acara rasmi dengan padang takraw dan bola. Kami menggunakan sepenuhnya untuk kegiatan bersukan dan bermain.

 

Saya terasa masih bertuah kerana masih ada padang permainan untuk bersukaria dan bersukan. Sesetengah tempat di bandar,  kanak-kanak tiada tempat untuk bermain. Ada di bandar padang sekangkang kera dan sering berlaku pergaduhan kerana tempat tidak cukup untuk semua orang.

 

Sementara di kawasan orang berada menikmati prasarana yang lengkap untuk membesar terutama taman perumahan, manakala kanak-kanak terutama miskin di bandar tidak ada keistimewaan dan terpaksa mencari ruang lain. Mana kanak-kanak mahu pergi?

 

Mungkin netizen tidak menyedari dengan  mengkritik kanak-kanak bermain basikal lajak seakan terpisah daripada realiti dan keadaan semasa. Ketidakadilan terus berlaku dalam guna tanah dan perumahan yang makin mencengkam.

 

Pembangunan lebih penting daripada taman permainan dengan kepesatan ekonomi terus menjerumuskan kanak-kanak dengan mencuba di kawasan lain untuk menyenangkan hati.


 

fudzail
Anak-anak di kampung memiliki kawasan permainan yang luas berbanding rakan sebaya mereka di kota-kota.

 


Dengan padang permainan yang tiada, ke mana anak-anak ini semua pergi bermain? Apa yang ibu bapa mampu beli hanya basikal lajak untuk bersiaran. Inilah peralihan masa dan peringkat umur sebelum menjadi dewasa dan menjadi mat-mat rempit yang berkeliaran.

 

Tidak dapat dibayangkan oleh netizens yang hanya komplen kerana semasa kanak-kanak kecil tidak ada keistimewaan seperti generasi saya untuk main bola dan bergaul atas padang dengan meriah.

 

Oleh itu jalan raya menjadi padang permainan anak-anak sebagai  tempat  beraksi. Kanak-kanak boleh berangan mahu menjadi pelumba Cub Prix untuk mencari nama dan keluar dari kemiskinan.

 

Masa saya kanak-kanak lagi saya sukakan buku dan majalah  dengan arwah abah mengajar jawi waktu berusia empat tahun. Lalu bila saya dewasa, automatik menjadi penulis dan sasterawan di samping ahli korporat.

 

Jika anak-anak basikal lajak dibesarkan di jalan raya, sudah besar mestilah menjadi mat rempit apabila dewasa. Dengan kematian mat rempit selalu dihina oleh golongan berada, termasuk netizens. Dicemuh  sebagai ‘stupid’,  ‘bodoh  merempit’, ‘padan muka’, ‘buang masa’ dan sebagainya yang tidak mempunyai jawapan dari mat rempit.

 

Bagi netizens yang berada atau hidup mewah tidak pernah ambil tahu, sedar dengan insaf dan perhatikan orang yang lebih miskin dengan hidup melarat. Maka boleh dikatakan tiada empati dan simpati dengan membiarkan perkara yang sama tanpa ada diskusi antara mereka.

 

Mungkin ada benarnya  dari segi undang-undang namun tiada jiwa dan empati untuk kanak-kanak. Langsung tiada pengertian terhadap kanak-kanak yang hidup dengan kemiskinan dan tegar dengan kesukaran. Terus dihina dan diejek, apakah kelahiran kanak-kanak meminta untuk begitu?

 

Kasihan kepada kanak-kanak yang terpaksa bermain basikal lajak dan tiada padang untuk bermain dan bersukan. Ibu bapa asyik sibuk bekerja di pejabat atau kilang untuk mengejar overtime. Kedua ibu bapa dan kanak-kanak mereka tiada hala tuju dan visi terhadap masa depan yang memberangsangkan.


 

fudzail

 


Memanglah salah naik basikal lajak dengan keegoan, itu yang mampu dilakukan. Dengan aksi merbahaya dan menakutkan dengan berlumba di waktu malam hingga ke pagi.

 

Masyarakat terutama netizens dengan laptop mula hilang empati dengan kanak-kanak, terutamanya yang miskin bandar dan terus hidup dengan kekurangan.

 

Saya berharap tidak semua orang berkongsi nilai yang sama dan pandangan yang tetap mencebik kanak-kanak. Fahami kanak-kanak dan cari penyelesaian untuk kehidupan yang lebih baik. Lebih sempurna  untuk masa depan lebih terjamin dan menguntungkan.


 

fudzail

 


Berikan empati dan simpati yang sewajarnya. Janganlah hanya sembur dan menuding jari bila bercakap dengan bahasa yang kurang sopan dan lucah. Kanak-kanak ini tidak punya apa-apa selain basikal lajak.

 

Beramai kita menjadikan satu iktibar agar kanak-kanak di masa depan tidak perlu lagi melalui kemiskinan bandar yang berpanjangan tanpa empati. Perkara yang payah dan sukar, terutamanya apabila kerajaan lebih pentingkan pemaju daripada rakyat sendiri yang semakin melarat.

 

Kita harus ingat Tuhan boleh memusingkan kehidupan sekelip mata, anda terutama netizens yang bising boleh menjadi miskin dan melarat.

 

Hidup ini penuh kejutan dan bersyukurlah hidup mewah pada waktu ini dan sama-sama dengan empati membantu kanak-kanak basikal lajak. - DagangNews.com