Bask Bear perkenal Sambal Toasties, hasil kerjasama dengan restoran nasi lemak terkenal | DagangNews Skip to main content

Bask Bear perkenal Sambal Toasties, hasil kerjasama dengan restoran nasi lemak terkenal

Bryan Loo (kanan) bersama Adelene Foo, Mohd Shamil Ngoh Abdullah dan Aishah Chong semasa majlis pelancaran Sambal Toasties di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Jan - Bask Bear Coffee memperkenalkan kombinasi unik iaitu roti bakar bersama sambal nasi lemak hasil kerjasama dengan Village Park Nasi Lemak sebagai usaha mendekatkan masyarakat dengan cita rasa Malaysia.

 

Menu inovasi baharu itu dikenali sebagai Bask Bear Sambal Toasties by Village Park – roti bakar yang diseimbangkan dengan rasa pedas sambal Nasi Lemak Village Park yang terkenal.

 

Berucap pada majlis pelancaran Sambal Toasties di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo yakin menu terbaru syarikat itu akan mendapat sambutan baik dan memikat cita rasa pengguna Malaysia.

 

Kata beliau, hidangan yang menyajikan rasa pedas bukan sahaja semakin popular malah rasa pedas sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat negara ini.

 

"Kerjasama bersama Village Park yang terkenal dengan keenakan nasi lemaknya merupakan keputusan yang tepat," katanya.

 

Malah menurut Bryan, tiada roti bakar lain di pasaran yang menggabungkan cita rasa asli Malaysia sebagaimana Bask Bear Sambal Toasties by Village Park.

 

Bryan Loo
Bryan Loo

 

Justeru, katanya, Bask Bear berbangga menjadi yang pertama di Malaysia membawakan pengalaman unik ini

 

"Komitmen kami terhadap inovasi merupakan ramuan utama dalam semua resipi kami dan semangat kami untuk sentiasa mencipta hidangan baharu dan lazat mendorong kami ke hadapan," katanya sambil menekankan bahawa roti bakar sangat digemari dalam kalangan pengguna yang menginginkan hidangan ringan atau kudapan berkualiti tinggi.

 

Turut hadir bersama Bryan semasa majlis pelancaran Sambal Toasties ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Adelene Foo, pengasas Village Park Nasi Lemak, Datuk Seri Mohd Shamil Ngoh Abdullah, serta isteri beliau selaku pengasas bersama, Datin Seri Aishah Chong.

 

Sambal Toasties baharu boleh didapati di semua cawangan Bask Bear secara pembelian terus di kedai atau melalui perkhidmatan penghantaran mulai 4 hingga 31 Januari 2024, kecuali di cawangan 1Utama dan Pavilion Elite.

 

Rangkaian Toasties terkini terdiri daripada tiga pilihan:

 

  1. Sambal Daging pada harga RM14.90
  2. Sambal Crispy Chicken juga pada harga RM14.90
  3. Sambal Hashbrown dan Telur pada harga RM12.90. - DagangNews.com