Bawa anak keluar semasa PKP: Boleh atau tidak? | DagangNews Skip to main content

Bawa anak keluar semasa PKP: Boleh atau tidak?



Oleh MASLIZA MOHD RAZALI dan SITI NORASHIKIN BASHIRUN

 

KERAJAAN baru-baru ini telah mengumumkan perubahan fasa bagi beberapa negeri  yang menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan seperti yang termaktub di dalam Pelan Pemulihan Negara. 

 

Antara kelonggaran yang diberikan untuk negeri-negeri Fasa 2 dan ke atas adalah kebenaran melakukan aktiviti sukan dan riadah, dine-in serta rentas daerah yang sememangnya dinantikan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

 

Namun begitu, kelonggaran yang diberikan ini telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan ibu bapa. Masing-masing tetap dengan perdirian mereka sama ada untuk membawa anak-anak keluar ataupun tidak.

 

Seawal peralihan Fasa ini dapat dilihat di media sosial kebanyakan ibu bapa memuat naik gambar bersama keluarga beriadah di taman rekreasi, berkelah di pantai, ke pusat membeli-belah mahupun dine-in

 

Golongan ini berpendapat bahawa anak-anak berhak untuk menikmati kebebasan bermain, beriadah serta bersosial setelah sekian lama berada di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

Bagi mereka, kesihatan mental dan emosi anak-anak juga perlu diambil cakna.  Berlainan pula bagi sesetengah ibu bapa yang masih mengawal pergerakan anak-anak untuk tidak keluar dari rumah kerana masih bimbang dengan situasi semasa.

 

Perkara ini ada asasnya kerana masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak bukanlah suatu perkara yang boleh diremehkan. 

 

Menurut, Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Dr.  Syed Mohamad Syed  Abdullah, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2019, menunjukkan hampir setengah juta kanak-kanak dikesan berdepan dengan masalah kesihatan mental. 

 

Apabila pandemik COVID-19 melanda negara pada awal 2020, fenomena ini memburukkan lagi keadaan dengan bertambahnya maklum balas negatif terhadap gangguan mental kanak-kanak.

 

Antaranya ialah tekanan terhadap pembelajaran dalam talian serta fenomena “Demam Kabin” yang merujuk kepada situasi individu yang mengalami perubahan emosi akibat terlalu bosan atau tidak berasa seronok apabila terperangkap di satu tempat dalam tempoh yang agak lama. 

 

Justeru itu, peluang yang ada ini dimanfaatkan bagi sesetengah ibu bapa dengan mula membawa anak-anak melakukan aktiviti luar. 

 

Pastinya ibu bapa ini telah mengambil kira soal keselamatan anak-anak dengan mengamalkan  kebersihan yang tinggi serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

 

Malah ada juga ibu bapa yang mengambil inisiatif dengan memberi vaksinasi tambahan untuk anak-anak bagi memastikan mereka kekal sihat serta sebagai langkah berjaga-jaga.

 

Tidak dinafikan terdapat segelintir golongan ibu bapa yang mengabaikan SOP ketika membawa anak-anak keluar. 

 

Hal inilah yang mungkin menjadi perdebatan dalam kalangan ibu bapa yang tetap bertegas untuk tidak membawa anak-anak keluar melakukan aktiviti riadah dan bersosial. 

 

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita telah berada di dalam situasi ini sejak setahun lalu dan telah menjadi norma baharu di dalam kehidupan kita.  

 

Justeru, ibu bapa haruslah berlapang dada dan menerima segala pendekatan yang diambil kerana setiap ibu bapa pastinya lebih mengetahui apa yang terbaik untuk anak-anak serta keluarga mereka. 

 

Yang terbaik untuk kita tidak semestinya untuk orang lain, raikan perbezaan pendapat dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang. – DagangNews.com

 

Masliza Binti Mohd Razali dan Siti Norashikin Bashirun merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Melaka