Bayaran insentif RM2,000 kepada penjawat awam dijangka beri kesan kepada pertumbuhan pembiayaan RCE Capital pada 4QFY24 | DagangNews Skip to main content

Bayaran insentif RM2,000 kepada penjawat awam dijangka beri kesan kepada pertumbuhan pembiayaan RCE Capital pada 4QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 pada 23 Februari 2024 dijangka memberi kesan kepada momentum pertumbuhan pembiayaan RCE Capital Bhd pada 4QFY24.

 

RHB Investment berkata, menerusi pembayaran itu penghutang dijangka membuat pembayaran balik pinjaman lebih awal selain membuatkan permintaan untuk pembiayaan menjadi lebih perlahan.

 

"Bagaimanapun, pengurusan tidak melihat perkara itu akan memberi kesan jangka panjang dan mengharapkan semakan gaji kakitangan awam yang seharusnya diselesaikan menjelang akhir tahun memberi kesan positif kepada perkembangan jangka panjang kumpulan," katanya.

 

Terdahulu, kerajaan menerusi Belanjawan 2024 bersetuju memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama dalam sektor awam.

 

Bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih RCE Capital bagi 3QFY24 susut kepada RM34.6 juta kesan perbelanjaan operasi yang tinggi

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada 3QFY24 kos kredit meningkat secara berturutan kepada 159bps daripada 133bps (3QFY23: 111bps) disebabkan oleh aliran keluar daripada perkhidmatan awam terutamanya dalam sektor pendidikan.

 

Katanya, walaupun jumlah aliran keluar tidak dapat diramalkan namun pihak pengursan kumpulan tidak terlalu bimbang dengan pekara itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM2.40 berbanding RM2.30 sesaham sebelum ini," katanya. - DagangNews.com