Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
PUTRAJAYA 18 Dis - Kerajaan bakal membayar Fasa 3 Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sebanyak RM300 pada 20 Disember 2021, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori Miskin dan B40.
Apabila selesai Fasa 3 ini kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka kerajaan telah melengkapkan keseluruhan BKC berjumlah RM4.6 bilion.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang disediakan ini menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.
''Dengan pembayaran ini, lengkaplah nilai bantuan di bawah BKC berjumlah RM4.6 bilion dan menzahirkan komitmen Kerajaan dalam memastikan pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, sebagaimana dimaklumi pembayaran Fasa 1 dan 2 BKC telah diselesaikan pada bulan September dan November yang lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk hampir 10 juta penerima.
Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC, iaitu https://bkc.hasil.gov.my.
Untuk maklumat lanjut termasuk kriteria penerima BKC dan nilai bantuan yang diterima, warga Keluarga Malaysia juga boleh merujuk Jadual 2 serta Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan. - DagangNews.com