BERA 14 Julai - Sebanyak RM7.6 juta sewaan bulanan yang telah dibayar 2,025 penghuni serta sewaan yang akan dikutip selepas ini dijadikan deposit pembelian kediaman Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, sebagai contoh, bayaran sewaan selama 36 bulan berjumlah RM10,800 akan dijadikan deposit lantas mengurangkan pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 kepada RM79,200 sahaja.
Beliau berkata, bagi baki 1,400 unit PGBF yang belum disiapkan dengan kos pembangunan keseluruhan RM204 juta, Felda akan meneruskan projek-projek itu melalui inisiatif pembiayaan swasta yang mana pihak pemaju akan menanggung kos pembinaan tanpa memerlukan dana daripada Felda.
Jelasnya, projek rintis akan dilaksanakan di Felda Bukit Aping Timur dan Felda Pasak di Johor serta Felda Chiku 5 di Kelantan.
"Penambahbaikan kepada model PGBF yang lebih mampan juga telah dilaksanakan dengan pengenalan inisiatif lot generasi Felda. Sehingga kini, sebanyak 8,670 unit lot generasi telah dikenal pasti termasuk 3,200 unit yang telah saya umumkan di Johor pada bulan Mac lalu.
"Buat masa ini, inisiatif ini akan dilaksanakan di negeri Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Kelantan dan Kedah. Di Parlimen Bera ini sahaja, sebanyak 250 lot telah dikenal pasti iaitu di Felda Kumai dan Felda Triang 1," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Padang Awam Felda Rentam, di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, bagi membantu generasi baharu dan memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah di lot generasi itu, dana berjumlah RM20 juta diperuntukkan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan yang bakal dibuat generasi baharu Felda.
"Oleh itu, mereka tidak perlu menyediakan cagaran bagi membuat pinjaman tertakluk sehingga dana ini habis dimanfaatkan," katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mengambil berat peningkatan mobiliti sosial warga Felda melalui pemerkasaan insiatif-inisiatif pendidikan.
"Selaras dengan itu, saya ingin mengumumkan pertukaran program Premier di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda kepada Program Ulul Albab. Program ini akan dilaksanakan bermula pada tahun akademik 2023 dan akan mengintegrasikan program pendidikan sedia ada dengan program aliran agama termasuk tahfiz al-Quran.
"MRSM Felda akan menjadi MRSM kelapan yang melaksanakan program ini dan bakal melahirkan generasi baharu Felda yang cemerlang dalam bidang profesional yang berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah.," katanya.
Beliau berkata, infrastruktur di kawasan Felda dilihat antara yang terbaik lantas menempatkan rancangan-rancangan Felda sebagai komuniti contoh luar bandar.
Katanya, ia dapat dicapai melalui pelbagai dana dan inisiatif bagi menyediakan infrastruktur yang terbaik buat warga Felda.
Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM66,000 bagi kesemua 317 rancangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21 juta, sempena ulang tahun penubuhan Felda yang ke-66 tahun.
"Saya juga ambil maklum kesungguhan dan komitmen yang dipamerkan oleh warga peneroka sekalian dalam memperindah rancangan masing-masing bagi meraih anugerah yang paling dinanti-nantikan – Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF).
"Sebagai penghargaan atas kesungguhan warga FELDA ini, saya mengumumkan hadiah tempat pertama AKRF kini dinaikkan daripada RM500 ribu kepada RM1 juta," katanya. - DagangNews.com