Empat bekas perunding skim unit amanah dan persaraan swasta dikenakan teguran akibat langgar Kod Etika FIMM | DagangNews Skip to main content

Empat bekas perunding skim unit amanah dan persaraan swasta dikenakan teguran akibat langgar Kod Etika FIMM

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Jan – Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) menegur empat bekas perunding Skim Amanah Saham (UTS) dan Skim Persaraan Swasta (PRS) kerana melanggar Peraturan dan Kod Etika FIMM.

 

Menurut persekutan itu, bekas perunding UTS dengan Hong Leong Bank Bhd (HLBB) dan perunding PRS dengan CIMB Bank Bhd, Farah Liana Mohammad Usolli, didapati bersalah menyalahgunakan maklumat peribadi pelanggan untuk mengemukakan permohonan kad kredit dan pembiayaan tanpa kebenaran. 

 

Akibatnya, dia disekat daripada pendaftaran FIMM berkuat kuasa 15 November 2024.

 

Seorang bekas perunding UTS dengan HLBB, Tiew Mong Ling, didapati menjalankan sembilan transaksi pelaburan UTS yang tidak dibenarkan berjumlah RM136,000 tanpa pengetahuan pelanggan.

 

Dia juga didapati memalsukan tandatangan pada borang pelaburan dan memberi gambaran salah mengenai produk pelaburan tersebut.

 

Sehubungan itu, dia juga menghadapi larangan sama daripada pendaftaran FIMM, berkuat kuasa 5 November 2024.

 

Seorang bekas perunding UTS dengan Public Mutual Bhd, Noraniza Ab Rahman pula, dikenakan teguran kerana menerima RM40,000 secara tunai daripada seorang pelabur, menyalahgunakan dana tersebut yang sepatutnya untuk pelaburan UTS, serta memberikan penyata pelaburan palsu.

 

Dia disekat daripada pendaftaran FIMM selama lima tahun, berkuat kuasa pada 5 November 2024.

 

Bekas perunding UTS dengan Kenanga Investors Bhd, Annie Lau Kho Chee, yang membenarkan individu tidak berdaftar untuk memasarkan produk UTS kepada empat pelabur di bawah peranannya, dihalang daripada pendaftaran dengan FIMM selama lima tahun, berkuat kuasa 15 November 2024.

 

Tindakan disiplin FIMM dibuat berdasarkan Peraturan Disatukan dan Kod Etika, yang mewajibkan perunding bertindak dengan jujur dan berintegriti, mengelakkan penyalahgunaan maklumat dan mematuhi peraturan yang melarang pemasaran tidak sah serta penyalahgunaan dana.

 

Teguran awam itu bertujuan mencegah salah laku yang serupa dan memperkukuh kepentingan pematuhan kepada piawaian profesional.

 

Kesalahan tersebut dikesan melalui pemberitahuan daripada majikan terdahulu perunding tersebut, menunjukkan ketelitian FIMM dalam memantau pematuhan peraturan. - DagangNews.com