KUALA LUMPUR 14 Jan - Batik Air melancarkan penerbangan sulung Kuala Lumpur-Miri hari ini, menandakan destinasi keempat syarikat penerbangan itu di Sarawak, termasuk Kuching, Sibu dan Bintulu.
Perkhidmatan penerbangan Kuala Lumpur–Miri beroperasi 14 kali seminggu, menawarkan penerbangan dua kali sehari di atas pesawat Boeing 737 Batik Air, menawarkan pelbagai pilihan kelas ekonomi dan kelas perniagaan yang sesuai dengan pilihan perjalanan yang pelbagai.
Syarikat penerbangan itu berkata, penerbangan sulung itu disambut meriah di Lapangan Terbang Miri (MYY), di mana penumpang diberi kalungan manik tradisional, sagu hati ihsan dari Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, laluan baharu Kuala Lumpur-Miri itu menawarkan dua penerbangan harian bagi memenuhi permintaan tinggi.
“Selain itu, Miri juga mempunyai komuniti perniagaan yang aktif, terutamanya dalam sektor minyak dan gas serta aktiviti ekonomi lain. Oleh itu, penambahan penerbangan adalah satu keperluan utama,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, penerbangan sulung ini menunjukkan dedikasi syarikat penerbangan itu untuk menyokong kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama pelancongan dan pelaburan.
“Miri mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam misi kami untuk menghubungkan kepelbagaian bandar Malaysia.
"Dengan menyediakan perkhidmatan langsung baharu ini, Batik Air berbangga untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancongan Sarawak, memudahkan perjalanan lancar untuk penduduk tempatan dan pelawat, dan mempamerkan tawaran luar biasa Miri dan Sarawak kepada dunia,” katanya.
Menurut STB, Miri adalah gerbang utara ke Sarawak dan mengalu-alukan lebih 1.1 juta pelancong pada 2024, mencerminkan pertumbuhan 51% daripada tahun sebelumnya dan menyumbang kepada jumlah ketibaan lebih 4.3 juta pelawat Sarawak.
Katanya, perkhidmatan langsung baharu ini akan meningkatkan kebolehcapaian ke salah satu destinasi Malaysia Timur yang berkembang pesat.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Haji Salleh Askor berkata, Sarawak sentiasa mengalu-alukan rangkaian sambungan penerbangan bagi memastikan pengunjung mengalami perjalanan lancar.
"Laluan baharu ke Miri ini bukan sahaja meningkatkan kebolehcapaian tetapi juga menyokong usaha berterusan kami mempamerkan tarikan unik Sarawak kepada dunia," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy percaya laluan baharu ini akan memberi sumbangan ketara kepada pertumbuhan pelancongan Malaysia, mampu membantu menarik 35.6 juta pelancong antarabangsa dan menjana pendapatan RM147.1 bilion menjelang 2026. - DagangNews.com