Sunway Property umum pelantikan Chung Soo Kiong sebagai Pengarah Urusan baharu | DagangNews Skip to main content

Sunway Property umum pelantikan Chung Soo Kiong sebagai Pengarah Urusan baharu

Chung Soo Kiong
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Jan - Sunway Property, cabang hartanah Sunway Group, mengumumkan pelantikan Chung Soo Kiong sebagai Pengarah Urusan baharu mereka.

 

Soo Kiong, yang menggantikan Datin Sarena Cheah, mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pembangunan hartanah dan perniagaan pembinaan di Sunway Group.

 

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Bahagian Antarabangsa Sunway Property, memimpin usaha-usaha di rantau ini dan projek-projek utama di Singapura, China, dan pasaran lain.

 

Dengan portfolio baharunya sebagai Pengarah Urusan Sunway Property, beliau kini akan memimpin keseluruhan bahagian hartanah, meliputi operasi domestik dan antarabangsa.

 

Dalam peranan baharunya, Soo Kiong akan dibantu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property (Wilayah Tengah & Utara) dan Sunway Property & Facilities Management (SPFM), Chong Sau Min serta Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay.

 

Soo Kiong berkata, dengan asas kukuh yang telah dibina oleh Sarena dan pasukan yang luar biasa, beliau berharap dapat memberikan rumusan berdaya cipta dan mampan yang bukan sahaja memenuhi, malah melebihi jangkaan komuniti dan pihak berkepentingan kumpulan.

 

Sarena yang sebelum ini memegang jawatan tersebut, kini memegang jawatan baharu sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif Sunway Group bermula 2 Januari 2025.

 

Beliau akan memberi tumpuan kepada peluasan jejak antarabangsa kumpulan dan terus mengawasi pembangunan Sunway City Iskandar Puteri untuk menjadi sebuah bandar bertaraf dunia yang menarik pelaburan global dan menggalakkan pelancongan serantau.

 

Mengulas mengenai peranan baharunya, Sarena menyifatkan memimpin Sunway Property adalah satu penghormatan buatnya untuk menyumbang kepada perjalanan luar biasa syarikat. 

 

"Saya yakin di bawah kepimpinan Soo Kiong, kumpulan akan mencapai kejayaan yang lebih besar. 

 

"Untuk peranan baharu ini, saya berazam untuk memajukan visi Sunway dalam membina masa depan yang mampan untuk generasi akan datang," ujarnya.

 

Kumpulan juga mengalu-alukan pelantikan Datuk Mohd Anuar Taib sebagai Timbalan Presiden Sunway Group. 

 

Sebagai seorang pemimpin korporat yang berpengalaman, Mohd Anuar telah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Lembaga Sunway Berhad sejak Julai 2023. 

 

Dalam peranan baharunya, beliau akan mengawasi bahagian perniagaan teras, termasuk Sunway Property, Sunway Malls dan Sunway Healthcare. - DagangNews.com