KUALA LUMPUR 18 Okt - Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya, BDB Synergy Sdn Bhd (BDB Synergy) menyediakan pelan awal sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana banjir di sekitar kawasan projek menaik taraf dan pemasangan jajaran paip baharu Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, BDB Synergy sebagai kontraktor utama projek berkenaan telah bersedia dengan langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi mengharungi musim tengkujuh yang dijangka akan menjelma tidak lama lagi.
Beliau berkata, selain kerja-kerja pembinaan di LRA Pelubang yang sedang dilaksanakan, kerja-kerja pemasangan paip air juga sedang giat dijalankan di tiga jajaran kawasan iaitu Sungai Baru ke Kuala Sungai, Bukit Tinggi ke Kuala Kedah dan Bukit Mengkuang ke Bukit Kayu Hitam.
"Oleh itu, di setiap kawasan terlibat kami akan memastikan air daripada kerja-kerja pemasangan paip tidak akan mengalir ke kawasan sawah padi dan setiap kawasan korekan bagi pemasangan paip juga akan ditutup setelah selesai kerja pada hari tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya.
"Pergerakan air di kawasan parit dan sawah sekitar projek berkenaan juga akan dipantau secara berkala bagi memastikan tiada sekatan kepada pengaliran air dan BDB Synergy akan membersihkan serta mengorek parit yang terlibat dengan pemasangan paip ini untuk mengurangkan risiko berlakunya banjir sekiranya hujan lebat melanda kawasan tersebut.
"Di samping itu, bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Projek berkenaan yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif BDB Synergy, Tahir Md Zin juga telah diperluaskan bagi memantau risiko kebarangkalian berlakunya banjir atau sebarang insiden yang tidak diingini dalam tempoh projek dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Iskandar, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat terjaga, BDB Synergy juga telah menyediakan talian aduan khas bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Papan tanda 'hotline' aduan tersebut telahpun dipasang di setiap jajaran paip yang terlibat dan ia sekaligus menunjukkan bahawa BDB serius dalam memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat terjamin sepanjang projek berkenaan dijalankan.
"Untuk itu, saya menyeru kepada orang ramai untuk menghubungi hotline aduan berkenaan atau talian bencana yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Kedah sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini atau melaporkan sebarang kemalangan yang berlaku di kawasan projek tersebut," katanya.
Untuk rekod, BDB Synergy telah dilantik pada 20 Mei 2021 oleh kerajaan negerisebagai kontraktor utama projek menaik taraf LRA Pelubang dan pemasangan jajaran paip bernilai RM431 juta.
BDB Synergy sebelum ini mempunyai rekod yang baik dalam pembinaan LRA apabila telah berjaya menyiapkan LRA Pokok Sena pada 2018, selain terlibat dalam projek LRA Kuala Ketil pada 2005 dan menaik taraf saluran paip dari Gurun ke Jeniang serta Sik ke Baling. - DagangNews.com