Bekalan air di wilayah KL, Gombak & Kuala Langat mula disalurkan | DagangNews Skip to main content

Bekalan air di wilayah KL, Gombak & Kuala Langat mula disalurkan

KUALA LUMPUR 15 Julai - Sebanyak tiga wilayah melibatkan 45 kawasan di Kuala Lumpur, Gombak dan Kuala Langat berjaya menerima bekalan air secara berperingkat bermula pada pukul 9.00 pagi tadi.

Agihan bekalan itu susulan daripada kejayaan kerja-kerja penggantian dan penambahbaikan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) yang telah siap sepenuhnya pada pukul 11.00 malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri berkata, ekoran itu, agihan bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas akan dijalankan mengikut jadual seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.

"Kami ingin nasihatkan pengguna yang telah menerima bekalan air untuk menggunakan air secara berhemah bagi memastikan agihan bekalan air cukup untuk disalurkan ke kawasan yang masih mengalami masalah bekalan air.

"Pengguna juga disaran untuk melayari laman web Air Selangor bagi mengetahui jangkaan waktu agihan air bagi kawasan-kawasan yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam makluman terdahulu, Air Selangor memberitahu, sebanyak 290 kawasan terjejas dan mengalami masalah gangguan bekalan air berjadual bermula 14 Julai dan akan pulih secara berperingkat bermula 15 hingga 17 Julai 2020.

Gangguan bekalan air tersebut melibatkan wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat. - DagangNews.com