Bekalan air terputus naikkan saham Spritzer | DagangNews Skip to main content

Bekalan air terputus naikkan saham Spritzer

Spritzer Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Harga sasaran sesaham (TP) bagi syarikat peneraju pasaran air, Spritzer Berhad ditingkatkan susulan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan sebanyak 1,292 kawasan.

MIDF Research berkata, TP syarikat berkenaan ditingkatkan kepada RM2.34 berbanding RM2.15 sebelum ini.

"Kami menyemak semula TP Spritzer dengan meningkatkannya kepada RM2.34.

"Kami juga sesuaikan penilaian 17.5xPER yang tidak berubah bersama jangkaan perolehan sesaham (EPS) sebanyak 13.4 sen," kata MIDF Research.

Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual menjejaskan hingga 1.2 juta pemegang akaun di sekitar tujuh wilayah termasuk Lembah Klang.

Hasil laporan, gangguan air tersebut adalah disebabkan oleh masalah pencemaran buangan industri di Sungai Selangor hingga menjejaskan aktiviti isi rumah dan perniagaan.

Susulan itu, penjualan air botol menyaksikan peningkatan di kedai-kedai serbaneka dan pasar raya.

Tambah MIDF Research, pihaknya percaya peningkatan permintaan terhadap air botol itu mampu memberi kesan kepada pendapatan syarikat Spritzer yang menguasai lebih daripada 40% pasaran air.

Gangguan bekalan air itu juga turut dilihat sebagai faktor baharu yang boleh menyumbang kepada pemulihan penjualan pada separuh kedua 2020 selain daripada norma baharu masyarakat yang memilih untuk berada di rumah.

MIDF Research turut berpendapat bahawa Spritzer akan terus beroperasi dengan stabil di samping mempunyai tunai bersih berjumlah RM19.4 juta pada akhir Jun 2020. - DagangNews.com