Bekalan ayam, telur dijangka stabil dalam tempoh 4 bulan bagi penuhi permintaan dalam negara | DagangNews Skip to main content

Bekalan ayam, telur dijangka stabil dalam tempoh 4 bulan bagi penuhi permintaan dalam negara

KUALA LUMPUR 15 Feb - Bekalan ayam dan telur di pasaran akan kembali stabil dalam tempoh empat bulan lagi bagi memenuhi permintaan dalam negara.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pelbagai insentif dan subsidi diberikan kepada pemain industri terutama penternak dalam menstabilkan pengeluaran bekalan ayam dan telur sekali gus meringankan beban mereka menghadapi peningkatan kos.

 

“Subsidi yang diumumkan minggu lalu dan sedang dalam proses pengaturan dengan pihak industri, kerajaan mendengar masalah yang dihadapi dan telah ambil tindakan bagi menampung sedikit implikasi kenaikan kos pengeluaran bekalan makanan negara.

 

“Kita beri tempoh empat bulan, ayam kalau kita nak ternak kena ambil masa 30 hingga 40 hari, jadi ia perlukan masa untuk stabilkan bekalan ayam dan telur,” katanya selepas program penubuhan Pasukan Sokongan Tindak Balas Kecemasan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (CDERT FAMA) di Port Dickson, hari ini, lapor Bernama.

 

Program dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

 

Pada 9 Februari lalu, Kabinet bersetuju memberikan subsidi 60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 per kg manakala 5 sen bagi setiap biji telur semua jenis kategori sehingga 4 Jun depan.

 

kiandee
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

 

Dalam pada itu, Ronald sekali lagi menegaskan langkah kerajaan membenarkan pengimportan bekalan ayam bulat dari luar negara adalah bersifat sementara bagi menampung kekurangan bekalan ayam dalam pasaran sehingga ia kembali stabil.

 

“Kita dah buka bukan sahaja kepada pengimport luar tetapi dalam kalangan pengusaha pasar raya (import), sebulan dua kebelakangan ini kita lihat bekalan kurang sebab itu kita benarkan import, bila pengeluaran (dalam negara) stabil kita akan hentikan,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Ronald berkata usaha MAFI melalui FAMA dalam melaksanakan CDERT adalah bertepatan dan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia bahawa tugas serta tanggungjawab dalam menghadapi bencana tidak hanya terletak kepada pasukan penguat kuasa semata-mata.

 

Beliau berkata, petugas FAMA yang diberi tanggungjawab sebagai penyedia kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) apabila berlaku sesuatu bencana memerlukan kakitangan terlatih untuk membantu menyalurkan bantuan kecemasan kepada kumpulan sasar yang terlibat.

 

Siri pertama CDERT FAMA dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) bermula pada 29 November 2021 dengan penyertaan 44 kakitangan FAMA manakala siri kedua (34) dan siri ketiga seramai 164 individu dengan latihan dijalankan di Institut Latihan FAMA, Port Dickson. - DagangNews.com