Bekalan minyak sawit mentah meningkat 13.25% pada Ogos 2022 - MPOB | DagangNews Skip to main content

Bekalan minyak sawit mentah meningkat 13.25% pada Ogos 2022 - MPOB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Bekalan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia bagi Ogos 2022 meningkat sebanyak 13.25% kepada 1.02 juta tan daripada 905,946 tan pada bulan sebelumnya.

 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, bekalan minyak sawit diproses meningkat 23.29% bulan ke bulan kepada 1.07 juta tan daripada 866,858 tan sebelum ini

 

“Secara keseluruhan, stok minyak sawit meningkat 18.16% bulan ke bulan kepada 2.09 juta tan daripada 1.77 juta tan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan mengenai prestasi industri minyak sawit Malaysia bagi Ogos 2022.
 

MPOB berkata, pengeluaran MSM meningkat sebanyak 9.67% kepada 1.72 juta tan pada Ogos berbanding 1.57 juta tan pada Julai.

 

Katanya, pengeluaran isirung sawit meningkat 10.57% bulan ke bulan kepada 424,234 tan daripada 383,669 tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran minyak isirung sawit mentah meningkat 5.94% kepada 191,347 tan berbanding 180,612 tan pada Julai.

 

Sementara itu, eksport minyak sawit susut sebanyak 1.94% bulan ke bulan kepada 1.30 juta tan daripada 1.32 juta tan pada Julai, manakala eksport minyak isirung sawit meningkat sebanyak 32.58% bulan ke bulan kepada 101,674 tan, daripada 76,689 tan sebelumnya.

 

“Eksport oleokimia merosot 3.03% pada Ogos kepada 214,721 tan daripada 221,424 tan pada Julai, manakala eksport biodiesel meningkat 82.23% bulan ke bulan kepada 26,244 tan daripada 14,401 tan sebelumnya,” katanya.

 

MPOB berkata, import MSM Malaysia pada Ogos 2022 melonjak 135.14% kepada 836 tan daripada 356 tan pada Julai, manakala import minyak sawit yang diproses meningkat 11.02% bulan ke bulan kepada 144,616 tan, dan jumlah import minyak sawit meningkat 11.36% bulan ke bulan kepada 145,452 tan. - DagangNews.com