KUALA LUMPUR 26 April - Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, firma swasta dengan 35% pegangan milik Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) telah melantik Datuk Hishammudin Hasan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharunya berkuat kuasa 17 April 2024.
Hishamuddin, warga Singapura yang berusia 53 tahun, sebelum ini berkhidmat sebagai CEO Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) bermula 2018-2020 dan pengendali rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dari 2017-2018.
"Dengan pengalaman hampir 30 tahun pengalaman merentasi syarikat multinasional di pelbagai wilayah, beliau membawa banyak pengalaman serta kepintaran kepimpinan kepada peranan baharunya," kata Al-Ikhsan dalam satu kenyataan.
Susulan pelantikan itu, Al-Ikhsan berkata, pihaknya teruja untuk memanfaatkan kepakaran dan visi Hishamuddin.
“Selain usaha korporat, Datuk Hishammudin amat komited terhadap tujuan sosial, melambangkan kepimpinan penuh belas ikhsan melalui penglibatannya dalam inisiatif menyokong komuniti,” kata syarikat itu.
Pada Mei tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Syed Yasir Arafat Syed Abdul Kadir berkata, syarikat itu sedang dalam perbincangan awal untuk mengewangkan pelaburannya dalam Al-Ikhsan Sports melalui tawaran awam permulaan (IPO) atau jualan perdagangan, bergantung pada penilaiannya. - DagangNews.com