Bekas CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Surina Shukri meninggal dunia | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Surina Shukri meninggal dunia

KUALA LUMPUR 29 Feb - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri, meninggal dunia pagi ini.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarganya, Surina meninggal dunia berikutan lama bertarung dengan kanser di Hospital Ampang Puteri di Kuala Lumpur kira-kira jam 9 pagi dikelilingi keluarga terdekatnya.

 

Surina adalah Ketua Pegawai Eksekutif MDEC dari Januari 2019 sehingga peletakan jawatannya pada 31 Ogos 2021.

 

Beliau juga berkhidmat sebagai pengarah bebas bukan eksekutif dengan Capital A (dahulunya Kumpulan AirAsia) dan CIMB Investment Bank Bhd.

 

Beliau juga merupakan ahli lembaga pentadbir di Institut Pendidikan Keamanan Mahatma Gandhi UNESCO dan beliau merupakan ahli lembaga pengarah Accelerate Global.

 

Pada tahun 2020, Surina telah dinamakan sebagai seorang daripada 50 Orang Paling Berpengaruh di Dunia yang Merevolusikan Tadbir Urus dalam senarai julung kalinya Agile 50 – inisiatif bersama oleh Apolitical dan Majlis Masa Depan Global Forum Ekonomi Dunia mengenai Tadbir Urus Tangkas.

 

Surina menghabiskan sebahagian besar kerjaya profesionalnya di Amerika Syarikat, khususnya di New York City, bekerja selama 17 tahun sebagai jurubank pelaburan, pakar strategi dan pemimpin di JPMorgan Chase & Co.

 

Surina lulus dari Sekolah Perniagaan Wharton dan Sekolah Kejuruteraan dan Sains Gunaan Universiti Pennsylvania dengan dwi ijazah.

 

Surina meninggalkan suami, Jasmin Ong Rashid dan tiga anak, Ean, Arianna dan Zac.

 

Jenazahnya dijangka disembahyangkan di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail pada lewat petang hari ini. - DagangNews.com