Bekas CEO UEM Sunrise dilantik Pengarah Urusan Malakoff | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO UEM Sunrise dilantik Pengarah Urusan Malakoff

 

 

PETALING JAYA, 23 Okt. – Selepas kurang dua minggu perletakkan jawatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Sunrise Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib kini dilantik sebagai Pengarah Urusan Malakoff Corporation Bhd.

Perlantikan beliau akan berkuatkuasa mulai 1 Disember depan, demikian menurut satu pengumuman di Bursa Malaysia.

Anwar Syahrin yang berusia 47 tahun pernah menyandang jawatan Pengarah Urusan dan CEO UEM Sunrise sejak tahun 2014 sehingga perletakkan jawatannya pada bulan ini.

Selain menjadi ketua kumpulan Unit Logistik dan Pelabuhan MMC Corporation sepanjang bulan Januari 2014 sehingga Ogos tahun yang sama, beliau juga pernah menjadi Ketua Pegawai Kewangan untuk syarikat yang sama sejak Jun 2008 sehingga Ogos 2014.

Sebagai akauntan berkanun dengan Institut Akauntan-Akauntan Berkanun di England dan Wales, beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia.

Beliau memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Salford di United Kingdom dan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Kolej Sains, Teknologi dan Perubatan Imperial di London. – DagangNews.com