Bekas Ketua Perangkawan Dato' Shaari Abdul Rahman meninggal dunia | DagangNews Skip to main content

Bekas Ketua Perangkawan Dato' Shaari Abdul Rahman meninggal dunia

PUTRAJAYA 4 JUN – Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekasn Ketua Perangkawan, Dato’ Shaari Abdul Rahman pada 3 Jun 2024.

 

Allahyarham memegang jawatan Ketua Perangkawan Malaysia bermula 1995 hingga 2004. Allahyarham akan dikebumikan pada Selasa, 4 Jun 2024 (26 Zulkaedah 1445) di Tanah Perkuburan Gajah 11 (berhampiran masjid Masjid Darul Jamiul Ehsan, Kg Kubu Gajah, Sg Buluh).

 

Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan berkata, Allahyarham Shaari memulakan kerjaya sebagai Ketua Perangkawan pada 1 Mei 1971 dan merupakan Ketua Perangkawan yang keempat mulai 16 September 1995 dan Pesuruhjaya Banci pada tahun 2000.

 

"Di antara daya usaha yang dipelopori beliau adalah memperkukuhkan perkhidmatan Jabatan melalui pengukuhan peranan Jabatan Perangkaan Negeri (DOSM Negeri) sebagai ’Barisan hadapan’ dalam pengumpulan data.

 

"Beliau juga memperkenalkan penggunaan ICT dalam prosesan dan penghantaran data secara dalam talian melalui File Transfer Protocol (FTP) daripada DOSM Negeri ke Ibu Pejabat," kata jabatan tersebut.

 

Pada tahun 1995, penggunaan Sistem Daftar Pertubuhan (SIDAP) telah dipertingkatkan dan disesuaikan penggunaannya ke DOSM Negeri.

 

"Di bawah pentadbiran beliau, selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, Sistem Pangkalan Data Rangka Banci (SPDRB) telah dibangunkan. Hasil dorongan dan sokongan beliau, laman web Jabatan telah dibangunkan".

 

Laman web Jabatan telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Laman Web Terbaik sempena sambutan Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri 2001 dan merupakan satu daripada pemenang dalam Top 20 Best Government Websites 2000 dan 2001.

 

Jabatan juga telah disenaraikan sebagai satu daripada lima laman web terbaik dalam Anugerah Internet Malaysia. Dalam tahun 2000, di bawah pimpinan beliau, Jabatan telah dianugerahkan MS ISO 9002:1994 bagi perkhidmatan berkualiti untuk pengumpulan, pemprosesan, pentafsiran dan penyebaran Indeks harga Pengguna dan Statistik Harga Pengguna Lain.

 

Selepas persaraan beliau pada 19 September 2004, beliau meneruskan khidmat sebagai Penasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan bidang statistik. Kemudian beliau menjadi Ahli Lembaga Pengarah kepada empat anak syarikat FELCRA.

 

"Warga DOSM ingin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga terus tabah dan bersabar dengan kehilangan allahyarham.

 

"DOSM akan sentiasa mengingati setiap sumbangan dan bakti Allahyarham khususnya dalam memperkukuhkan sistem statistik dalam membantu negara menyediakan dasar dan perancangan sosio ekonomi negara," kata kenyataan tersebut. - DagangNews.com