Bekas perunding unit amanah didenda lebih RM687,000 dan ditegur kerana menipu pelabur oleh SC | DagangNews Skip to main content

Bekas perunding unit amanah didenda lebih RM687,000 dan ditegur kerana menipu pelabur oleh SC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendenda sebanyak RM687,500 dan menegur bekas perunding unit amanah atas dakwaan menipu pelabur.

 

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu melibatkan Amran Mohd Amin antara November 2012 dan November 2019.

 

Dalam kejadian itu, Amran didakwa menyeleweng sebanyak RM215,000 daripada empat bakal pelabur antara untuk tujuan pelaburan dalam dana unit amanah bersama Kenanga Investors Berhad (KIB). 

 

SC mendapati sebaliknya Amran telah memasukkan dana bakal pelabur tersebut ke dalam akaun pelaburan amanah sahamnya sendiri. 

 

 

"Amran juga telah memberikan penyata akaun yang dipalsukan kepada dua daripada empat pelabur tersebut, memberikan gambaran palsu bahawa pelaburan atau pembelian unit amanah telah dibuat, sedangkan perkara itu tidak berlaku," katanya.

 

Dia yang ketika itu berkhidmat sebagai perunding unit amanah pada masa itu melakukan kesalahan di bawah seksyen 354(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), Seksyen 92A(2)(a), perenggan 5.02(b) garis panduan SC mengenai kelakuan untuk pengantara pasaran modal dan perenggan 4.1(a) kod etika persekutuan pengurus pelaburan Malaysia.

 

Tindakan SC terhadap Amran dibuat selepas melalui proses yang sewajarnya termasuk peluang untuk dia mengemukakan jawapan mengenai pelanggaran tersebut serta keputusan SC. Amran tidak memfailkan sebarang semakan terhadap keputusan SC dalam tempoh masa yang ditetapkan di bawah CMSA. 

 

Teguran yang dikenakan terhadap Amran adalah yang terbaru dalam tindakan penguatkuasaan SC terhadap perunding unit amanah kerana salah laku. Ia juga memberi peringatan tegas bahawa sebarang salah laku tidak akan diberi toleransi. 

 

Sejak 2020, SC telah mengambil tindakan pentadbiran terhadap sembilan individu kerana salah laku termasuk kesalahan menerima wang tunai dan mempunyai wang yang dikreditkan ke dalam akaun bank peribadi mereka daripada pelabur untuk tujuan pelaburan dalam unit amanah, dan juga memberikan penyata yang mengandungi maklumat palsu atau mengelirukan kepada pelanggan.
 

 

SC mengingatkan semua perunding unit amanah untuk bertindak dengan jujur, berintegriti dan demi kepentingan terbaik pelanggan mereka, demi menjaga integriti pasaran modal. - DagangNews.com